BESUT: Empat bot nelayan Vietnam yang dilucut hak ditenggelamkan di perairan Pulau Perhentian, hari ini untuk dijadikan tukun tiruan.
Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) negeri, Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua bot itu ditahan dan dilucut hak oleh mahkamah pada tahun ini kerana menceroboh serta menangkap ikan di perairan negara.
Katanya, jumlah keseluruhan denda mahkamah bagi empat bot berkenaan ialah RM4.65 juta di samping kos penahanan sebanyak RM50,000 kepada kerajaan Malaysia.
“Ini adalah program pelupusan ke-22 yang dilaksanakan tahun ini dan terdapat 60 bot lagi di Pusat Tahanan Vesel (PTV) Maritim Malaysia Terengganu, PTV Zon Maritim Kemaman serta PTV Bukit Datu.
“Sehingga kini, sebanyak 127 bot nelayan Vietnam dilupuskan sebagai tukun di perairan Terengganu dengan nilai kira-kira RM190.5 juta,” katanya dalam kenyataan.
Menurut Muhammad Suffi, kaedah penenggelaman bot sebagai tukun adalah satu inisiatif dalam memulihara dan menggalakkan biodiversiti marin di samping simbolik kepada keseriusan Maritim Malaysia mengekang kemasukan nelayan asing ke perairan negara secara haram.
Katanya, Maritim Malaysia akan terus melaksanakan rondaan untuk mengesan kegiatan pencerobohan nelayan asing di samping aktiviti yang melanggar undang-undang di sekitar perairan Terengganu. – UTUSAN ONLINE