PUTRAJAYA: Perolehan eksport produk agrikomoditi bagi suku ketiga tahun ini melonjak sebanyak 49 peratus kepada RM155 bilion berbanding RM104 bilion dalam tempoh yang sama pada tahun lalu.
Menurut Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, faktor peningkatan ini berikutan kenaikan harga harian minyak sawit mentah sehingga yang tertinggi dalam sejarah iaitu RM5,404 setiap tan dan pertambahan lebih 100 peratus eksport sarung tangan getah.
“Sehingga September lalu, produk berasaskan sawit yang merupakan penyumbang terbesar sebanyak 48 peratus daripada jumlah eksport agrikomoditi, mencatatkan peningkatan kepada RM74 bilion.
“Nilai yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun sebelumnya adalah RM52 bilion. Namun begitu, kuantiti eksport produk berasaskan sawit mencatatkan penurunan sebanyak enam peratus,” katanya.
Jelas kementerian tersebut, dalam masa sama, pandemik Covid-19 terus memberikan kesan kepada pengeluaran dan eksport minyak sawit, bukan sahaja di Malaysia malah kepada semua negara pengeluar minyak sawit dunia.
Bagaimanapun, isu berkenaan dijangka dapat diatasi apabila kemasukan 32,000 pekerja asing di sektor perladangan direalisasikan mulai awal bulan depan.
Katanya, bagi produk getah yang menyumbang sebanyak 38 peratus kepada keseluruhan nilai eksport berkenaan telah meningkat sebanyak 89 peratus kepada RM59 bilion berbanding RM31 bilion bagi tempoh sama tahun lalu.
“Nilai eksport produk berasaskan lateks seperti sarung tangan getah dan lain-lain terus melonjak sebanyak 111 peratus kepada RM49 bilion berbanding RM23 bilion dalam tempoh sama pada tahun lalu.
“Sarung tangan getah yang kebanyakannya untuk kegunaan perubatan, mencatat kenaikan sebanyak 118 peratus kepada RM47 bilion berbanding RM22 bilion pada suku ketiga 2020,” ujarnya.
Sementara itu, produk berasaskan kayu-kayan pula menyumbang sebanyak 10.3 peratus dengan nilai eksport sektor ini meningkat 1.15 peratus kepada RM16 bilion berbanding RM15.7 bilion pada tempoh sama tahun lalu.
“Malah, eksport produk koko juga mencatatkan kenaikan sebanyak 10 peratus kepada RM5.1 bilion berbanding tahun sebelumnya iaitu RM4.6 bilion.
“Senario itu turut membabitkan produk lada yang meningkat sebanyak 18 peratus kepada RM100 juta berbanding RM85 juta pada tempoh sama tahun lalu,” katanya.
Kementerian itu turut yakin dapat mencatatkan pertumbuhan dan nilai yang lebih baik menjelang suku keempat 2021 berbanding 2020 berdasarkan prestasi yang direkodkan.
Malah, kementerian tersebut juga yakin sasaran nilai eksport sebanyak RM180 bilion tahun ini mampu dicapai. – UTUSAN