SEREMBAN: Dua buah rumah musnah terbakar dalam kejadian berasingan di daerah ini dan Port Dickson pagi tadi.
Dalam kejadian di Kampung Seri Batu 8, Labu pada pukul 10.08 pagi tadi, sebuah rumah terbakar di bahagian depan dan kejadian turut memusnahkan empat buah motosikal.
Pegawai operasi dari Balai Bomba Seremban 2, Faizal Basri berkata, setibanya anggota bomba di lokasi kejadian, tuan rumah memadamkan api kebakaran yang bermula dari sofa yang diletakkan di luar rumah berkenaan.
“Terdapat empat buah motosikal jenis Kawasaki, Honda, Suzuki dan Yamaha musnah sebanyak 40 peratus dalam kejadian berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan.
Sementara itu, di Port Dickson, sebuah rumah jenis teres satu tingkat di Rumah Rakyat Pekan Lukut musnah sebanyak 40 peratus dalam kebakaran kira-kira pukul 8.50 pagi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Mohd. Hairul Izam Mazelan berkata, setibanya di lokasi berkenaan, pihaknya mendapati rumah berkenaan terbakar di bahagian dalam iaitu di sebuah bilik penyimpanan barang sembahyang dan sebuah katil.
Katanya, tiada mangsa yang terlibat dan pihaknya turut memaklumkan kepada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memberi bantuan kepada keluarga berkenaan. – UTUSAN ONLINE










