fbpx

Dua muka lama, lapan muka baharu barisi Exco Melaka

SULAIMAN Md. Ali ketika sidang akhbar khas pengumuman barisan Exco di Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka. - UTUSAN/AMRAN MULUP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Dua muka lama dan lapan muka baharu membarisi senarai 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang dibentuk selepas Barisan Nasional (BN) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu memegang portfolio Jawatankuasa Perancang Ekonomi, Kewangan, Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC) dan Hal Ehwal Agama.

Dua muka lama ialah ADUN Rembia, Datuk Muhammad Jailani Khamis yang memegang jawatan lamanya iaitu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman bertukar portfolio kepada Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri.

Mengetuai lapan muka baharu ialah Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Melaka yang juga ADUN Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh dengan mempengerusikan Jawatankuasa Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan manakala ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan pula dengan portfolio Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar.

Turut tersenarai ADUN Telok Mas yang juga Ketua UMNO Bahagian Kota Melaka, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani; ADUN Gadek, VP. Shanmugam memegang Jawatankuasa Pembangunan Belia,  Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) serta ADUN Pengkalan Batu, Datuk Kalsom Nordin dengan portfolio Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan, Keluarga dan Kebajikan.

Tiga lagi muka baharu ialah ADUN Merlimau, Dr. Muhamad Akmal Saleh menjawat portfolio Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah yang sebelum ini disandang Rahmad; ADUN Paya Rumput, Datuk Rais Yasin pula sebagai Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan dan Teknologi manakala ADUN Machap Jaya, Ngwe Hee Sem memegang portfolio Jawatankuasa Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna

Sulaiman berkata, barisan Exco yang dibentuk adalah yang terbaik untuk tempoh lima tahun akan datang.

“Mereka mampu menggalas tanggungjawab dan merealisasikan aku janji dan manifesto Kestabilan Demi Kemakmuran yang ditawarkan untuk rakyat di negeri ini selepas BN menang dalam PRN,” katanya ketika sidang akhbar di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE

 

POPULAR

KOSMO! TERKINI