Dos penggalak perlu kajian mendalam - Utusan Malaysia

Dos penggalak perlu kajian mendalam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Dos penggalak masih perlu menjalani kajian secara terperinci sebelum boleh dijadikan sebagai syarat lengkap vaksinasi di negara ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, pakar virologi Universiti Malaya (UM), Prof. Dr. Sazaly Abu Bakar berkata, Kementerian Kesihatan mengambil langkah berhati-hati kerana dos penggalak belum diuji tahap keberkesanannya secara menyeluruh dalam menangani ancaman jangkitan Covid-19 pada masa akan datang.

Kata beliau, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sendiri masih mengumpul data-data yang khusus mengenai dos penggalak.

“WHO belum menggalakkan sepenuhnya terhadap usaha menjadikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi kerana belum ada bukti-bukti saintifik menjurus kepada keberkesanannya.

“Pembekal vaksin pun belum ada yang menjalankan ujian klinikal secara besar-besaran sama ada dos penggalak memberi keberkesanan diperlukan. Memandangkan suntikan vaksin tertakluk kepada kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), maka pembekal vaksin perlu mengikut data khusus sama ada meletakkan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi adalah satu keperluan,” katanya.

Beliau mengulas pendirian Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin yang belum memutuskan dos penggalak sebagai syarat untuk seseorang individu itu dikategorikan telah lengkap divaksinasi.

Katanya, kementerian sedang membuat kajian berdasarkan pengalaman negara lain yang menetapkan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Perubatan Kesihatan Awam Malaysia (PPPPK), Datuk Dr. Zainal Ariffin Omar menyifatkan, kerajaan wajar berhati-hati sebelum menjadikan dos penggalak sebagai syarat lengkap vaksinasi.

“Keperluan dos penggalak bergantung kepada beberapa isu teknikal seperti jenis vaksin, golongan yang memerlukan dan beban penyakit. Elok jika kerajaan berhati-hati untuk menjadikan dos penggalak sebagai vaksinasi lengkap.

“Namun, dalam situasi semasa kerajaan perlu teruskan kempen dos penggalak tanpa perlu paksaan,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN