KUALA SELANGOR: Tindakan seorang lelaki menyimpan mercun dan bunga api secara haram mengundang padah apabila dicekup polis di rumahnya di Bukit Rotan di sini, semalam.
Penahanan suspek berusia 32 tahun itu membawa kepada rampasan puluhan kotak barangan berkenaan yang dianggarkan bernilai RM80,000.
Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, serbuan hasil maklumat pihaknya itu dilakukan pada pukul 5.50 petang.
Katanya, pemeriksaan lanjut menemukan sebanyak 66 kotak pelbagai jenis mercun dan bunga api di dapur rumah tersebut.
“Suspek yang menetap di rumah itu kemudian gagal menunjukkan sebarang dokumen kebenaran menyimpan barangan berkenaan.
“Justeru, lelaki tersebut ditahan manakala barang kes dirampas untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ramli, siasatan awal pihaknya mendapati semua mercun dan bunga api itu dipercayai akan dijual sempena sambutan Deepavali.
“Suspek yang ditahan mengaku barangan berkenaan adalah miliknya.
“Namun, suspek tidak memaklumkan berapa lama tempoh kegiatan itu dilakukannya,” ujarnya.
Tambah beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun atau denda RM10,000 atau kedua-duanya sekali,” katanya. – UTUSAN ONLINE