Calon PN lambang keutuhan parti gabungan - Wan Saiful - Utusan Malaysia

Calon PN lambang keutuhan parti gabungan – Wan Saiful

WAN SAIFUL WAN JAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketua Penerangan Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan menyifatkan nama-nama calon Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka hari ini melambangkan keutuhan hubungan antara parti-parti dalam gabungan PN.

Beliau berkata, segala yang dilakukan bersama secara harmoni itu menunjukkan model PN adalah model yang efektif dan lestari.

“Sebelum ini ada yang tertanya-tanya jika gabungan PN boleh bekerjasama dengan baik.

“Pembahagian kerusi dan pemilihan calon-calon secara bersama yang berjalan dengan harmoni menjadi bukti bahawa model PN ini adalah model yang efektif dan lestari,” katanya dalam satu hantaran di Facebook hari ini.

Terdahulu, PN mempertaruhkan 15 calon daripada Bersatu dan masing-masing lapan Pas dan lima (Gerakan) sebagai calon parti itu bagi PRN Melaka pada 20 November ini.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, dari segi latar belakang calon, 43 peratus daripada calon adalah berusia 40 tahun ke bawah dan sebahagian besarnya adalah golongan profesional.

Menurut Wan Saiful, pemilihan calon-calon bagi mewakili PN dilakukan dengan amat teliti.

“Kita mahu calon-calon yang boleh membawa aspirasi PN, iaitu menawarkan sebuah kerajaan yang mewakili masyarakat Bumiputera dan pelbagai kaum untuk membentuk budaya dan amalan politik baharu yang lebih bersih, stabil, harmoni serta sejahtera untuk semua rakyat Malaysia.

“Itulah yang disebut oleh Muhyiddin selaku Pengerusi PN dan Presiden Bersatu.

“Kita gabungkan mereka yang berpengalaman dengan muka-muka baharu. Kita juga menawarkan calon-calon muda yang berpotensi tinggi.

“Semua calon-calon yang dinamakan itu adalah mereka yang diyakini akan membawa aspirasi parti demi untuk seluruh rakyat Malaysia,” ujarnya.

Tambah beliau, perkara itu adalah satu amanah yang berat dan menuntut komitmen serta iltizam yang tinggi daripada semua bakal-bakal Yang Berhormat.

“Saya ucapkan tahniah kepada semua calon-calon yang diberikan amanah membawa bendera Perikatan Nasional dalam PRN Melaka,” katanya.

Menurut beliau, seluruh jentera Bersatu akan digerakkan untuk membawa kemenangan bagi calon-calon PN dan pihaknya akan berkempen mengikut norma baharu.

“Rekod khidmat PN adalah cemerlang. Di bawah pimpinan Muhyiddin, kita tidak pernah lari daripada politik khidmat.

“Pelbagai bantuan kita berikan kepada segenap lapisan rakyat dalam menghadapi pandemik Covid-19. Kita juga teguh berpegang dengan prinsip kedaulatan undang-undang, menjaga kebebasan institusi kehakiman, dan membersihkan negara daripada salah laku dan rasuah.

“Iltizam kita ialah meneruskan kecemerlangan yang sama di Melaka sekiranya rakyat Melaka memilih PN. Semoga PRN ini akan membawa kebaikan kepada rakyat Melaka,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN