Calon baharu bukti dinamik baharu Barisan Nasional

Calon baharu bukti dinamik baharu BN

SYED MOHD. JOHAN SYED UNAN MASHRI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ALOR SETAR: Pengumuman calon Barisan Nasional (BN) Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka jelas membuktikan gabungan parti itu berani berubah dengan meletakkan 86 peratus daripada 28 calon terdiri daripada muka baharu termasuk menampilkan lebih ramai golongan muda. 

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO, Syed Mohd. Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, tindakan itu sangat dialukan dan kena pada masanya bagi era pembaharuan mendepani rakyat.

“Pemuda UMNO menyokong langkah berkenaan dan yakin tawaran pemimpin muka muda dan baharu dapat memberi keyakinan kepada pengundi untuk bersama BN dan ia juga membuktikan UMNO tidak ketandusan calon berkaliber serta memberi kesegaran dalam idealisme perjuangan.

“Dengan kita menuju perubahan landskap politik yang lebih dinamik, kita harus membuka peluang kepada setiap orang yang berkelayakan untuk menjadi calon,” katanya di sini hari ini.

Pengarah Pilihan Raya Melaka, Datuk Seri Mohamad Hasan hari ini mengumumkan calon PRN Melaka yang 86 peratus daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) adalah muka baharu dengan pengekalan empat orang sahaja.

Syed Mohd Johan Rizal menambah, paling penting ia adalah calon yang boleh menang, diterima masyarakat dan boleh berkhidmat dengan baik.

“Semasa Pilihan Raya Kecil Parlimen Cameron Highland pada Januari 2019, BN menongkah kelaziman dengan mencalonkan ‘orang luar hierarki parti’, Ramli Md. Nor dan hasilnya BN beroleh kemenangan sangat baik. 

“Diharapkan tindakan berani menampilkan calon baharu pada PRN Melaka kali ini juga dapat membuahkan hasil ala ‘Cameron Highland’. Semoga semangat kemenangan pilihan raya kecil Cameron Highland, Rantau, Tanjung Piai, Kimanis, Chini, Slim berterusan pada PRN Melaka,” katanya.

Katanya, Pemuda UMNO percaya kepemimpinan UMNO Pusat dan UMNO negeri menganalis keupayaan calon untuk menang, kredibiliti setiap calon sebelum memberi watikah mereka membawa bendera BN.

“Dengan jumlah seramai 495,196 pengundi akan menentukan pemimpin pilihan mereka pada 20 November nanti, kerja keras amat diperlukan dalam mendekati pengundi. 

“Sebahagian besar daripada angka itu adalah pengundi baharu dan pengundi muda yang perlu didekati Pemuda UMNO,” jelasnya.

Tambahnya, Pemuda UMNO yakin ia adalah peluang memberi keyakinan kepada rakyat bahawa UMNO adalah yang mempunyai kredibiliti untuk membawa negara, khususnya negeri Melaka terus cemerlang, stabil dan makmur.

“Pada masa sama kami menyokong langkah BN bertanding secara solo. Parti membuat keputusan maka kami jentera akan sepenuh tenaga mengerah keringat terutamanya membantu empat orang calon BN yang terdiri daripada Pemuda UMNO. 

“Biarpun bertanding solo akan memberi cabaran besar tetapi kami akan tetap harungi, kerana itulah yang dilakukan sejak dahulu,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN