SANDAKAN: Hasrat seorang lelaki ingin membunuh diri melalui menara pencawang elektrik di Jalan Kampung Melayu dekat sini berjaya dihalang oleh pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12 tengah hari itu, pasukan bomba berjaya memujuk lelaki berusia 28 tahun itu untuk turun daripada menara berkenaan dengan selamat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah, Jimmy Lagung berkata, pihaknya menerima laporan mengenai cubaan membunuh diri pada pukul 12.12 tengah hari dan sepasukan anggota digerakkan ke lokasi kejadian yang terletak pada jarak 21 kilometer.
Beliau berkata, sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, pasukan bomba mendapati terdapat seorang lelaki berada di menara pencawang elektrik berkenaan.
“Pasukan bomba kemudian berjaya memujuk mangsa supaya turun sendiri melalui tangga. Mangsa turun dalam keadaan selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Kemudian mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya dan operasi tamat pada pukul 12.50 tengah hari,” katanya.