Bom lama dijumpai dalam ladang sawit - Utusan Malaysia

Bom lama dijumpai dalam ladang sawit

BOM lama yang dijumpai di dalam ladang sawit di Ladang Serigala Divisyen A, Slim River. - UTUSAN/IHSAN PDRM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TANJUNG MALIM: Sebutir bom lama jenis Artileri 155 milimeter ditemukan di Ladang Serigala Divisyen A, Slim River di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Sulizmie Affendy Sulaiman berkata, maklumat mengenai penemuan bom itu diterima daripada seorang lelaki menerusi panggilan telefon pada pukul 4 petang semalam.

Katanya, sepasukan anggota dihantar ke lokasi kejadian dan membuat kawalan di situ.

“Hasil siasatan mendapati bom itu dijumpai di tepi laluan untuk mengangkut hasil sawit dan jarak lokasi ke jalan utama lebih kurang tiga kilometer.

“Bom tersebut dipercayai bom jenis Artileri 155 mm dengan anggaran panjang 29 inci dan ukur lilit 20 inci,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, bom itu dijumpai tertanam di tebing tanah di tepi jalan dalam kebun kelapa sawit.

Katanya, pemeriksaan lanjut mendapati hanya muncung bom yang berada di luar manakala bahagian badan bom tertanam di dalam tanah.

“Kerja-kerja memusnahkan bom itu akan dijalankan esok dengan bantuan Unit Pemusnahan Bom (UPB), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN