PETALING JAYA: Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan kemenangan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memberi keyakinan kepada Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Malah, beliau menganggap kemenangan itu adalah babak penting dalam kebangkitan semula BN menguasai Kerajaan Pusat.
“Bermula dengan pelbagai kemenangan dalam pilihan raya kecil sebelum ini, Melaka adalah momentum yang menderaskan lagi usaha BN menguasai semula kerajaan. Di Melaka, BN juga telah memaparkan kesungguhannya untuk pembaharuan.
“Penampilan 87 peratus calon yang baharu, bersih dan berwibawa bermakna BN telah melepasi halangan yang sangat besar dalam usaha pembaharuannya. Melaka menyaksikan generational change yang sangat BN perlukan,” katanya menerusi akaun Facebook miliknya.
Pada masa sama, beliau juga menyifatkan pengajaran terbesar daripada episod pilihan raya di Melaka ialah kestabilan politik.
“Kestabilan hanya akan wujud jika ada sebuah parti politik yang dominan menguasai kerajaan, kerana itulah semangat sebenar sebuah sistem demokrasi ala Westminster.
“Model Westminster bukan perikatan parti-parti kecil dan sederhana membentuk kerajaan. Situasi seperti itu adalah rumusan kepada ketidakstabilan sebenarnya.
“BN mengambil risiko yang besar dalam membuat perhitungan politiknya di Melaka. BN bukan jenis risk averse atau mengelak risiko. Malah ia sanggup menghadapi segala risiko demi keberhasilan yang berlipat ganda,” katanya.
Justeru, beliau berpandangan dengan kemenangan PRN Melaka, BN juga mampu meraih kemenangan pada PRU-15.
“BN tidak akan melepaskan peluang ini untuk kembali mentadbir Malaysia. Melaka telah memberikan BN suatu keyakinan bahawa ia sebenarnya adalah pilihan terbaik untuk Malaysia. Politik yang sederhana, menghargai kemajmukan dan progresif serta pengalaman mengurus kepelbagaian yang telah teruji.
“Tetapi perjalanan BN menuju PRU ke-15 bukanlah mudah. Pengundi milenial dan sokongan bukan Melayu adalah cabaran yang sangat mencabar. BN perlu bekerja keras bagi menanganinya,” katanya.