PETALING JAYA: Peningkatan keupayaan bidang kesihatan awam dalam kalangan negara Asia Tenggara (ASEAN) dan China dapat mewujudkan persediaan bagi menghadapi sebarang situasi kecemasan dengan lebih berkesan pada masa akan datang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, proses peningkatan keupayaan dalam bidang tersebut mampu dicapai menerusi perkongsian teknologi dan harta intelek serta ilmu pengetahuan.
Selain itu katanya, keselamatan kesihatan global wajar disokong dengan melibatkan komitmen, tanggungjawab bersama dan ketelusan serta akauntabiliti semua negara terlibat sebagai tindak balas terhadap penularan Covid-19.
“ASEAN dan China boleh meningkatkan kerjasama dalam bidang kesihatan awam dan keupayaan farmaseutikal melalui perkongsian teknologi, pengetahuan dan harta intelek. Ini akan membantu dalam meningkatkan kesihatan awam.
“Ia juga sekali gus dapat memastikan negara terlibat bersedia menangani kesihatan masa depan dengan lebih berkesan,” katanya semasa berucap dalam Sidang Kemuncak Khas ASEAN-China sempena memperingati ulang tahun ke-30 Hubungan Dialog ASEAN-China menerusi sidang video di sini.
Sidang Kemuncak Khas itu dipengerusikan Sultan Brunei, Sultan Hassanal Bolkiah selaku Pengerusi ASEAN serta turut disertai Presiden China, Xi Jinping.
Perdana Menteri dalam masa yang sama turut menekankan pemulihan sosioekonomi daripada pandemik Covid-19 adalah keutamaan apabila negara menuju ke peringkat pasca pandemik.
Dalam pada itu, Ismail Sabri berkata, ASEAN dan China harus mengukuhkan kerjasama ekonomi digital, transformasi dan infrastruktur serta saling hubungan untuk memastikan rantaian bekalan terus berkembang tanpa halangan.
“Saya yakin hubungan dialog ASEAN-China akan terus berkembang dan semakin kukuh. Malaysia berpandangan dengan rangkaian yang kukuh melalui platform bersama ASEAN-China, kumpulan pemikir kami boleh memainkan peranan sangat penting untuk menyumbang ke arah perkongsian ASEAN-China yang lebih kukuh dan berdaya tahan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, ASEAN dan China boleh bekerjasama meningkatkan multilateralisme, khasnya dalam memperbaharui Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) untuk memastikan badan dunia itu kekal relevan dan berkesan ketika pandemik global.