Benarkah operasi kereta api Bukit Bendera akan ditutup? - Utusan Malaysia

Benarkah operasi kereta api Bukit Bendera akan ditutup?

CAP berharap perkhidmatan kereta api furnikular Bukit Bendera, Pulau Pinang yang telah beroperasi hampir 100 tahun tidak akan ditutup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGETOWN: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan kemungkinan perkhidmatan kereta api Bukit Bendera (kereta api furnikular) yang bermasalah akan ditutup jika terus rosak.

Presidennya, Mohideen Abdul Kader berkata, pihaknya berharap cadangan penutupan itu yang dibuat kerana mengambil kepentingan keselamatan penumpang tidak akan kekal selamanya.

Menurut beliau, penduduk Pulau Pinang sudah kehilangan feri ikoniknya pada Disember tahun lalu dan kehilangan satu lagi ikon yang beroperasi selama hampir 100 tahun boleh menimbulkan kemarahan dan rasa kurang senang warganya.

Malah, beliau turut mempersoalkan sama ada pengumuman cadangan penutupan kereta api furnikular itu adalah untuk memberi laluan kepada projek kereta kabel seperti yang dirancang kerajaan negeri.

“Pengumuman kemungkinan penutupan kereta api Bukit Bendera ini nampaknya memberikan kewajaran kepada keperluan untuk kereta kabel, sama ada sebagai pengganti atau alternatif bagi membawa orang ramai ke atas bukit itu.

“Kita tidak menentang penutupan kereta api Bukit Bendera untuk pembaikan atau penyelenggaraan kerana keselamatan adalah paling penting, tetapi untuk memberi alasan kereta api itu terus rosak dan bermasalah dan mungkin ditutup adalah seperti melepaskan sebarang harapan terhadap perkhidmatan ikonik ini yang penting untuk pelancong dan penduduk di atas bukit itu,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Jelas beliau, operasi kereta api Bukit Bendera adalah di bawah Kerajaan Negeri Pulau Pinang sekali gus akan menimbulkan kemarahan penduduk negeri ini jika kerajaan negeri memutuskan untuk menutupnya.

Sehubungan itu katanya, punca kerosakan kereta api itu harus dikesan serta diperbetulkan dan pada zaman berteknologi tinggi ketika ini adalah sesuatu yang luar biasa kerosakan tersebut tidak dapat dikurangkan atau dicegah dengan ketara.

“Untuk menutup sepenuhnya dan meninggalkan kereta api Bukit Bendera itu adalah tidak bertanggungjawab kerana kereta api itu telah ditukar dan dimodenkan hanya pada 2011.

“Seharusnya tiada dwistandard dalam melindungi ikon dan warisan Pulau Pinang,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya