Belum menang namun diambang kejayaan - Utusan Malaysia

Belum menang namun diambang kejayaan

KHAIRY Jamaluddin ketika berucap merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3) di Penambang, Kota Bharu, Kelantan, hari ini. - UTUSAN/ZULHANIFA SIDEK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Malaysia belum boleh diisytiharkan menang memerangi Covid-19 namun sudah berada di ambang kejayaan dalam menangani pandemik tersebut.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, penggunaan katil untuk pesakit Covid-19 di seluruh negara kini turun kepada kira-kira 40 peratus, sekali gus melegakan petugas barisan hadapan.

Bagaimanapun, tegas beliau, kejayaan itu hanya mampu dicapai jika rakyat terus mengamalkan norma baharu terutama mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Saya tahu rakyat sudah gelisah tidak mahu pakai pelitup muka, namun besar harapan saya supaya kita terus berjuang melawan Covid-19.

“Barisan hadapan mampu menarik nafas lega sedikit selepas sekian lama mereka berhempas-pulas memerangi Covid-19.

“Bagaimanapun rakyat jangan sesekali leka, hargai jasa dilakukan barisan hadapan negara ini,” katanya ketika merasmikan Klinik Kesihatan (Jenis 3), Penambang, di sini hari ini.

Yang hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dan Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Zaini Hussin.

Mengulas lanjut, Khairy berkata, sehingga kini kebanyakan negeri sudah memasuki fasa empat kecuali dua negeri iaitu Kelantan dan Sarawak.

“Kita tidak mahu disebabkan rakyat yang leka dengan penurunan kes, wabak Covid-19 kembali meningkat sebagaimana yang berlaku di negara Eropah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu sebanyak 31 projek pembangunan fasiliti kesihatan diluluskan di Kelantan membabitkan kos RM623 juta dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

“Projek berkenaan terdiri daripada 24 projek sambungan dari RMK-11 dengan kos RM582 juta selain tujuh projek baharu dengan kos RM40.1 juta.

“Antara projek baharu, Projek Naik Taraf Asas Bekalan Air Alternatif di sembilan klinik kesihatan luar bandar serta pembinaan Klinik Kesihatan Gantian Jenis 3 di Bachok dengan kos keseluruhan RM35 juta,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya