Belia Kelantan didakwa semakin mesra DAP - Utusan Malaysia

Belia Kelantan didakwa semakin mesra DAP

AZAHA Abdul Rani (dua dari kiri) menggunting rambut seorang pelajar di Kampung Cina, Gua Musang, Kelantan, petang semalam. - UTUSAN/AIMUNI TUAN LAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GUA MUSANG: DAP yang selama ini dilabel parti ‘orang Cina’ semakin diterima baik rakyat Kelantan apabila berjaya membuka 23 cawangan di samping menambah 6,000 keahlian terdiri daripada masyarakat Melayu, Orang Asli dan Siam.

Pengerusi DAP negeri, Datuk Azaha Abdul Rani berkata, pertambahan itu direkodkan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini dengan rata-rata ahli baharu terbabit merupakan golongan belia dan pengundi muda.

“Sebenarnya, DAP bukanlah parti perkauman atau parti orang Cina seperti yang didakwa pihak lawan selama ini. Parti ini boleh disertai sesiapa sahaja tanpa mengira warna kulit atau keturunan mereka.

“Kalau tengok sekarang, orang Melayu terutama golongan muda memang ramai menyertai DAP, selain Orang Asli yang kini dianggarkan sudah mencecah 4,000 orang sudah mendaftar sebagai ahli,” katanya. 

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Program Gunting Rambut Percuma anjuran DAP yang terbuka kepada orang ramai di Kampung Baru Cina, di sini petang semalam.

Mengulas lanjut, Azaha berkata, berdasarkan perkembangan positif itu, beliau yakin DAP mampu meluaskan lagi pengaruhnya di negeri kubu kuat Pas ini sebagai persiapan menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau berkata, DAP Kelantan akan membantu Pakatan Harapan (PH) berdepan pihak lawan dengan menghantar jentera untuk berkempen di samping menyediakan sokongan logistik.

Katanya, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu segera memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) sepanjang dalam tempoh berkempen supaya tidak mengelirukan banyak pihak.

“Kita keliru dengan SOP dalam PRN Melaka seperti tak ada kempen kepada pengundi, sebaliknya terhad di media sosial sahaja.

“Saya rasa perkara itu tidak memberi keadilan kepada rakyat, selain kita sendiri sebagai ahli politik tidak boleh bertemu rakyat untuk menyampaikan maklumat dengan lebih berkesan,” katanya. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN