GEORGETOWN: Bekalan minyak masak paket yang didakwa terjejas minggu lalu di beberapa kawasan negeri ini khususnya di daerah Timur Laut dijamin kembali pulih bermula minggu ini terutama menjelang sambutan perayaan Deepavali.
Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Pulau Pinang, Mohd. Ridzuan Ab. Ghapar berkata, siasatan mendapati, antara punca bekalan minyak masak paket itu terjejas disebabkan sebuah pengilang terpaksa menutup operasi akibat Covid-19.
Katanya, pengilang itu antara terbesar di bahagian pulau yang membungkus semula minyak masak paket untuk diedarkan kepada peruncit dan ejen.
“Kuota mereka adalah 150 tan metrik sebulan, namun minggu lalu mereka menutup operasi selama tujuh hari akibat Covid-19 dan hanya membuka semula operasi minggu ini.
“Kita telah jalankan siasatan segera mengenai perkara ini dan menjamin bekalan kembali pulih pada minggu ini selepas kilang berkenaan kembali beroperasi,” katanya selepas melancarkan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) Deepavali 2021 di Pasar Chowrasta, di sini hari ini.
Pelaksanaan skim tersebut bermula 1 hingga 7 November melibatkan 11 jenis barangan terdiri daripada ayam, telur, daging dan sayur.
Sebelum ini, Pegawai Pendidikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP), N.V.Subarrow berkata, CAP meninjau 12 kedai runcit di kawasan pulau dan mendapati berlaku kekurangan minyak masak paket di pasaran.
Menurut Mohd. Ridzuan, selain penutupan sebuah kilang akibat Covid-19, pihaknya juga mendapati pengeluaran minyak masak paket dikawal disebabkan berada pada minggu akhir Oktober.
“Selalunya kuota yg ditetapkan adalah sebanyak 3,434 kilogram minyak masak paket untuk Pulau Pinang dan kita ada 25 pengilang yang diberi kebenaran untuk membungkus semula minyak masak paket ini.
“Pada minggu akhir Oktober, kita dapati jumlah pengeluaran telah menghampiri kuota yang ditetapkan dan pengilang mengawal bekalan kerana tidak mahu melepasi kuota yang ditetapkan,” katanya. – UTUSAN ONLINE