KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan sedang berusaha mencari langkah terbaik bagi menyelesaikan kelemahan sistem perparitan yang menjadi punca berlakunya banjir kilat setiap kali hujan lebat.
Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, semua pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negeri telah dipanggil untuk berbincang bersama pihak jurutera bagi mengatasi masalah tersebut.
Kata beliau, sebagai pencegahan pada masa depan, kerajaan negeri menitikberatkan aspek perancangan awal sebelum memulakan satu-satu projek pembangunan.
“Sebagai contoh dalam kawasan saya sendiri iaitu di Panchor, ada pemaju perumahan buat projek di kawasan rendah tetapi kerja-kerja menambak tanah tidak dilakukan dengan secukupnya. Bila hujan lebat seluruh kawasan tenggelam.
“Penduduk semua tahu kawasan itu rendah, namun disebabkan pemaju orang luar mungkin dia tidak tahu keadaan sebenar tanah,” katanya kepada pemberita selepas mesyuarat Exco di Kota Darulnaim, di sini hari ini.
Sebelum ini tular di laman sosial Facebook dan aplikasi Titok memaparkan beberapa lokasi di pusat bandar Kota Bharu dan Tumpat dilanda banjir kilat selepas hujan lebat, akibat kelemahan sistem perparitan.
Di Kota Bharu, antara lokasi kerap dilanda banjir kilat Panji, Kubang Kerian, Taman Bendahara dan Kampung Baung manakala di Tumpat, jalan utama dari Kota Kubang Labu menuju ke Wakaf Bharu.
Mengulas lanjut fenomena tersebut yang dikatakan semakin kerap berlaku, Mohd. Amar berkata, banjir kilat tidak hanya berlaku di Kelantan sahaja, malah turut melibatkan negeri-negeri lain terutama di Kuala Lumpur.