Bangunan bersejarah 120 tahun nyaris musnah terbakar - Utusan Malaysia

Bangunan bersejarah 120 tahun nyaris musnah terbakar

KEADAAN kebakaran kecil dalam bangunan bekas Sekolah Melayu Kampung Kuchai di Ipoh hari ini. - UTUSAN/IHSAN JBPM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

IPOH: Sebuah bangunan bersejarah, bekas Sekolah Melayu Kampung Kuchai yang berusia 120 tahun di Jalan Dato Onn Jaafar di sini nyaris musnah dalam kebakaran tengah hari tadi.

Kebakaran bagaimanapun melibatkan hanya sebahagian kecil ruang dalam bangunan kayu yang ditinggalkan terbiar itu.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan mengenai kebakaran itu pada pukul 12.25 tengah hari.

Menurutnya, sepasukan anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ipoh ke lokasi kejadian.

“Sebaik sahaja tiba, pemeriksaan mendapati  kebakaran disebabkan longgokan sampah di dalam bangunan kosong itu.

“Api bagaimanapun dipadamkan oleh pasukan bomba sukarela Pekan Baru sebelum jentera BBP Ipoh tiba.

“Pihak bomba membuat pemantauan bagi memastikan tidak berlaku sebarang kejadian berbahaya sebelum operasi ditamatkan pada pukul 1.16 petang,” katanya dalam kenyataan di sini.

Sementara itu, Setiausaha Persatuan Warisan Perak, Nor Hisham Zulkifli berkata, walaupun tiada kerosakan besar tetapi kejadian kebakaran seperti itu sangat dibimbangi terhadap bangunan sekolah berusia lebih 120 tahun itu yang merupakan warisan besar dalam sejarah pendidikan orang Melayu di Ipoh.

Menurutnya, pihak berkuasa perlu berbuat sesuatu untuk memulihara tinggalan sejarah tersebut agar tidak musnah.

“Ini adalah kejadian kedua selepas kebakaran pada Julai lalu yang memusnahkan bangunan bekas rumah guru bersebelahan yang dibina pada 1950-an manakala sisi bangunan sekolah ini juga terbakar.

“Bangunan kayu berdindingkan bertam ini adalah antara sekolah Melayu tertua di Perak yang masih ada di Ipoh, malangnya terbiar tidak berjaga,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN