KUALA LUMPUR: Larangan aktiviti berkempen secara menyeluruh sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka menunjukkan ‘sinar cahaya’ belum tiba ketika kerajaan beberapa kali menyebut adanya sinar di hujung terowong setelah melawan Covid-19.
Penasihat DAP, Lim Kit Siang berkata, hakikatnya, sinar di hujung terowong itu hanya berkerlipan walaupun negara berada di kedudukan 10 dalam kalangan negara yang mempunyai kadar vaksinasi tertinggi.
Namun, katanya, Malaysia juga masih berada dalam kalangan 20 negara teratas dengan jumlah kes terkumpul dan kes harian tertinggi selain kadar kematian per sejuta penduduk tertinggi di peringkat ASEAN.
“Bagaimanakah sinar cahaya di penghujung terowong sudah dapat dilihat sekiranya semua bentuk kempen secara fizikal diharamkan di Melaka atas nama wabak Covid-19?
“Rakyat Malaysia kini menanggung bala daripada konspirasi Langkah Sheraton pada Februari 2020, jelas sekali kita tidak akan dapat melihat sinar cahaya di penghujung terowong kegelapan pandemik ini dengan situasi seperti era sebelum darurat dan sebelum hari pengundian PRN Melaka nanti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu, Majlis Keselamatan Negara (MKN) hadir dengan prosedur operasi standard (SOP) mengenai pilihan raya negeri yang melarang sebarang aktiviti berkempen melibatkan pertemuan antara calon dan pengundi secara fizikal.
Hal itu termasuk aktiviti ceramah, ziarah rumah ke rumah dan jelajah mesra yang bermaksud aktiviti kempen yang pernah menjadi kebiasaan sebelum pandemik Covid-19 tidak lagi dibenarkan.
Pilihan lain yang masih ada dengan menjalankan kempen secara dalam talian di media sosial namun belum dapat dilaksanakan dengan lancar akibat batasan ketersampaian internet.
Mengulas lanjut, ahli Parlimen Iskandar Puteri itu berkata, bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang kini bertindak sebagai ahli Parlimen biasa di Dewan Rakyat juga bercerita mengenai sinar tersebut beberapa kali sejak tahun lalu sejak menjawat jawatan nombor satu negara.
Secara kebetulan, katanya, Muhyiddin juga bercakap mengenai angka kes harian Covid-19 yang meningkat daripada 5,402 kes kepada,6,243 kes semalam sekali gus merekodkan jumlah tertinggi dalam dua minggu lepas.
“Apabila pengundi keluar mengundi pada 20 November, Malaysia akan mencatatkan hampir tiga juta kes terkumpul dan lebih daripada 30,000 kematian akibat Covid-19 termasuk 6,000 kes kematian dibawa ke hospital atau brought in death (BID).
“Para pengundi di Melaka perlu menzahirkan perasaan meluat mereka terhadap kegagalan dua kerajaan yang tidak demokratik dan tidak sah dalam mengawal penularan wabak Covid-19 selepas konspirasi Langkah Sheraton tahun lalu,” katanya. – UTUSAN ONLINE










