Anggota polis pukul wanita dipindah tugas - Utusan Malaysia

Anggota polis pukul wanita dipindah tugas

TANGKAP layar video seorang lelaki yang didakwa pegawai polis memukul seorang wanita dalam lif.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEPANG: Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed memberitahu, anggota polis yang tular kerana memukul seorang wanita dalam sebuah lif  di Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, Selasa lalu, sudah dipindahkan tugas ke bahagian pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan.

Arjunaidi  berkata, anggota berusia 35 tahun itu adalah detektif koperal yang bertugas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor.

“Susulan kes ini, kami mengambil tindakan serta merta dengan memindahkan anggota berkenaan dari tugas sebagai detektif kepada tugas pentadbiran sementara siasatan lanjut dijalankan pihak polis Kuala Lumpur,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang, di sini, hari ini.

Beliau menjelaskan, individu berkenaan bukan pegawai kanan polis seperti dilaporkan media sebelum ini. 

“Saya mahu betulkan fakta yang memaklumkan individu berkenaan adalah pegawai kanan polis tetapi sebenarnya detektif koperal yang bertugas di IPK Selangor,” katanya. 

Tambah beliau, selain dari segi perlakuan jenayah, siasatan dari segi tatatertib turut dijalankan terhadap anggota berkenaan. 

Klip video berhubung kejadian mangsa dipukul berkali-kali di kepala oleh suspek tular di laman media sosial.

Tindakan itu dilakukan akibat berang gagal mencari calon jodoh di sebuah laman sesawang.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN