ALOR SETAR: Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor mengambil kesempatan bertemu Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow di Istana Negara, Kuala Lumpur semalam untuk bercakap secara berdepan dan berterus terang mengenai tuntutan bayaran air mentah kepada negeri jiran itu.
Bagaimanapun, pertemuan itu tampak masih gagal meleraikan kekusutan berhubung perkara tersebut setelah Muhammad Sanusi secara jelas menunjukkan yang beliau tidak dapat menerima alasan diberikan Kon Yeow.
“Jawapan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada saya adalah, negeri itu tidak mampu membayar kerana hasil mereka tidak banyak.
“Sukar sekali menghadam jawapan itu kerana semua orang tahu Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP) menjana pendapatan dan keuntungan yang banyak daripada industri bekalan air kepada sektor industri, perkapalan dan domestik daripada air mentah yang berpunca dari Kedah,” tulis Muhammad Sanusi dalam satu status di laman Facebook rasminya hari ini.
Bersama status itu, beliau turut memuat naik gambar pertemuan tersebut yang juga disertai Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.
Mengulas lanjut Muhammad Sanusi berkata, tuntutan bayaran air mentah itu adalah semata-mata untuk negeri dan rakyat Kedah.
“Kami menuntut hak yang wajar dan munasabah daripada pengorban dan Kedah menyimpan kawasan tadahan ratusan ribu hektar.
“Dari situlah mengalirnya sungai-sungai membekalkan air mentah untuk minuman dan kawasan pertanian makanan buat Kedah, Pulau Pinang dan Perlis,” katanya. – UTUSAN ONLINE