ADUN pembangkang turut terima peruntukan - KM Melaka - Utusan Malaysia

ADUN pembangkang turut terima peruntukan – KM Melaka

SULAIMAN Md. Ali ketika menunaikan Solat Jumaat di Masjid Al-Azim, Ayer Keroh, Melaka sebelum Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Exco.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan negeri menyediakan peruntukan kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) termasuk bukan kerajaan supaya mereka dapat melaksanakan tanggungjawab diamanahkan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md. Ali berkata, politik matang menjadi antara agenda yang diberi penekanan sepanjang beliau mentadbir negeri ini.

Jelasnya, usaha itu penting dalam membentuk kestabilan politik di antara semua ADUN yang dipilih rakyat.

“Pendekatan ini adalah berlandaskan konsep Keluarga Malaysia agar dapat menerima persamaan dan perbezaan supaya kesemua ADUN yang dipilih rakyat dapat melaksanakan tanggungjawab diamanahkan. 

“Selain itu, kerajaan akan meminda perlembagaan negeri untuk melantik lima ADUN tambahan termasuk wakil belia dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO),” katanya ketika berucap pada Majlis Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) di Seri Negeri, hari ini.

Dalam pada itu, Sulaiman memberitahu, kerajaan negeri akan melaksanakan enam pelan tindakan bagi menjamin kestabilan politik di negeri ini.

Jelasnya, Enakmen Anti Lompat Parti akan diperkenalkan dan peruntukan peraturan-peraturan berkaitan diguna pakai bagi menjamin kestabilan sesebuah kerajaan. 

“Mengusulkan kerjasama antara ADUN untuk memastikan jangka hayat Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka kekal untuk tempoh sekurang-kurangnya empat tahun dari hari pertama persidangan. 

“Tadbir urus korporat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) akan diwujudkan sebagai panduan undang-undang dan peraturan kerajaan negeri.

“Selain itu, kerajaan negeri akan memperkenal undi percaya konstruktif serta agenda transformasi dan pengukuhan DUN untuk membolehkan semua ADUN memainkan peranan lebih efektif dalam penggubalan undang-undang dan pembuatan dasar bagi memenuhi semak dan imbang tadbir urus Kerajaan Negeri Melaka.

“Akhir sekali mengusulkan peruntukan dan kebajikan kepada semua ADUN yang akan diputuskan dalam masa yang terdekat,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN