ALOR GAJAH: Calon Barisan Nasional (BN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Bidara, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh kembali ke sekolah lamanya iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram, Masjid Tanah dekat sini untuk mengundi.
Menurutnya, beliau memulakan persekolahan di situ pada 1967 ketika darjah satu.
“Sekolah ini dahulunya berlantaikan tanah dan berbumbungkan atap nipah. Hari ini SK Jeram telah menjadi antara sekolah terbaik di kawasan ini.
“Terima kasih kepada usaha kerajaan yang sentiasa membantu memberi keselesaan kepada anak-anak kampung untuk belajar dengan selesa.
“Saya bersemangat hari ini kerana menyorot kembali pendidikan awal yang diperoleh di sekolah ini dan akan gunakannya untuk kembali berkhidmat dengan masyarakat Tanjung Bidara khususnya di Masjid Tanah,” katanya kepada pemberita di sini.
Ab. Rauf tiba di pusat mengundi itu pada pukul 8.20 pagi.
Sementara itu, Ab. Rauf menambah, sambutan yang diterima hari ini sangat baik dan ramai yang memilih untuk keluar mengundi pada awal pagi.
“Terima kasih kepada jentera yang telah bekerja keras sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ini. Mereka juga telah menguruskan format pagi ini seperti yang diharapkan,” jelasnya.










