968 pemohon yang lulus masih tunggu rumah sewa PA, PPR

[Parlimen] 968 pemohon yang lulus masih tunggu rumah sewa PA, PPR

JALALUDDIN ALIAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Sebanyak 10,138 permohonan telah dipertimbangkan dari tahun 2019 sehingga September 2021 untuk menyewa unit Perumahan Awam (PA) dan Program Perumahan Rakyat (PPR) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN) berkata, terdapat sejumlah pemohon yang masih belum diberikan penempatan berikutan wujud penyewa yang telah melepasi kadar kelayakan enggan keluar.

“Daripada 10,138 permohonan tersebut, sebanyak 1,654 pemohon telah diluluskan, di mana 686 pemohon telah ditawarkan unit PA atau PPR di bawah DBKL.

“Manakala 968 pemohon yang lulus masih menunggu tawaran unit kosong. Terdapat beberapa faktor kenapa unit-unit kosong masih belum dapat diserahkan kepada 968 pemohon.

“Hal itu adalah kerana masih terdapat unit-unit yang sedang dibaik pulih dan wujud penyewa yang telah melepasi kadar kelayakan enggan keluar,” jelasnya dalam persidangan tersebut.

Bukan itu sahaja, ketiadaan projek baharu yang dibangunkan oleh kerajaan juga merupakan antara faktor terdapat pemohon masih perlu menunggu.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Lim Lip Eng (PH-Kepong) dalam sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Jalaluddin, kementerian itu juga akan terus menjalankan penguatkuasaan secara bersasar dan berkala bagi mengesan penyewa PPR yang sudah tidak layak menyewa di perumahan tersebut.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sedang giat melaksanakan penguatkuasaan secara berkala dan bersasar mengikut zon dan kawasan yang telah dikenalpasti.

“Antara kesalahan yang dikenal pasti oleh DBKL adalah penghuni tidak sah (PTS), penghuni tidak menetap (PTM), penyewaan semula unit kepada pihak ketiga, kes-kes yang melibatkan ketua penyewa yang didapati terlibat dengan penyalahgunaan dadah dan maksiat, serta lain-lain kes yang melanggar peraturan yang dikuatkuasakan oleh DBKL,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN