50 nelayan pantai ke laut tanpa lesen - Utusan Malaysia

50 nelayan pantai ke laut tanpa lesen

BEBERAPA nelayan memeriksa enjin bot sebelum turun ke laut di Telok Nipah, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda, Sungai Petani semalam. – UTUSAN/OTHMAN YAHAYA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SUNGAI PETANI: Kira-kira 50 nelayan pantai berpangkalan di Telok Nipah, Pantai Merdeka, Kota Kuala Muda dekat sini, terpaksa mengambil risiko turun ke laut tanpa lesen lebih 10 tahun lalu.

Mereka mendakwa telah membuat permohonan untuk mendapatkan lesen tersebut dalam tempoh berkenaan namun tidak diluluskan.

Rata-rata nelayan dari Kampung Telok Amboi, Pantai Merdeka dan Kampung Keda Tukang Jusoh itu menyara keluarga dengan tangkapan hasil laut.

Seorang nelayan, Abdul Manaf Ismail, 54, berkata, mereka adalah ahli Persatuan Nelayan Tanjung Dawai (PNTD) Cawangan Telok Nipah, namun itu bukanlah kelebihan untuk mendapatkan lesen sampan menangkap ikan.

“Sudah banyak kali kami membuat permohonan melalui PNTD tetapi selepas 10 tahun berlalu, hanya tiga nelayan yang berpangkalan di sini sahaja yang mendapat lesen.

“Di mana silapnya saya pun tidak tahu, sebaliknya kami dijadikan seperti ‘bola’ apabila diarah oleh PNTD berjumpa dengan Jabatan Perikanan dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk proses permohonan lesen itu,” katanya ketika ditemui di sini, semalam.

Seorang lagi nelayan, Mohd. Amir Abdul Hamid, 42, yang lebih 15 tahun menjadi nelayan berkata, dia terpaksa turun ke laut walaupun tahu risiko akibat tiada lesen sampan.

“Saya terpaksa kerana ini sahaja cara meneruskan kelangsungan hidup untuk menyara empat anak masih bersekolah serta isteri yang tidak bekerja.

“Apa yang boleh dibuat hanya berdoa setiap kali turun ke laut supaya pulang dengan selamat serta tidak terserempak dengan pihak berkuasa,” katanya.

Mukhlis Mansor, 36, pula berharap permohonan mereka untuk mendapatkan lesen tersebut diluluskan segera.

“Jika mempunyai lesen kami boleh menerima Elaun Sara Hidup Nelayan (ESHN) sebanyak RM300 dan peruntukan subsidi minyak petrol yang boleh digunakan semasa tidak boleh ke laut pada musim hujan dan ribut atau ketika sakit.

“Hairan juga mengapa pihak berkuasa sukar meluluskan lesen sedangkan kami adalah penyumbang kepada ekonomi setempat dan hanya mencari rezeki untuk keluarga,” katanya yang menjadi nelayan sejak lebih 20 tahun lalu.-UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN