4 dalang diberkas cuba seludup 26 PATI Myanmar  - Utusan Malaysia

4 dalang diberkas cuba seludup 26 PATI Myanmar 

KENDERAAN yang dirampas polis daripada sindiket penyeludupan warga Myanmar menerusi Op Pintas di Pulau Pinang, kelmarin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPALA BATAS: Polis melumpuhkan satu sindiket penyeludupan warga Myanmar susulan beberapa serbuan dalam Op Pintas, di sini kelmarin. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Pulau Pinang, Senior Asisten Komisioner Rahimi  Ra’ais berkata, operasi itu disertai sepasukan pegawai dan anggota JSJ Bukit Aman bersama anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah, Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) serta Bahagian Siasatan Khas (D9) Ibu pejabat Polis kontinjen (IPK) Pulau Pinang. 

Menurut Rahimi, dalam serbuan itu, empat individu terdiri daripada dua lelaki warga tempatan dan masing-masing seorang wanita tempatan dan Myanmar yang dipercayai menjadi dalang dalam sindiket terbabit ditahan. 

Ujar beliau, kesemua suspek yang berusia antara 43 tahun hingga 66 tahun itu dipercayai bertanggungjawab membawa masuk pendatang asing tanpa izin (PATI) menggunakan jalan darat menerusi sempadan Bukit Kayu Hitam, Kedah. 

Menurutnya, turut ditahan dalam operasi berkenaan seramai 26 PATI terdiri daripada 21 lelaki dan lima wanita Myanmar berusia antara 20 hingga 35 tahun. 

“Berdasarkan siasatan awal, polis percaya setiap PATI ini membayar antara RM4,000 hingga RM5,000 kepada dalang terbabit sebagai syarat untuk dibawa masuk ke Malaysia. 

“Dalam serbuan yang sama, polis merampas empat buah kereta, telefon bimbit dan sejumlah wang tunai,” katanya menerusi kenyataan di laman sosial Facebook PDRM Pulau Pinang hari ini. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN