393 Pengerusi JPKKP Negeri Sembilan terima surat pelantikan

393 Pengerusi JPKKP Negeri Sembilan terima surat pelantikan

MEGAT Firdouz Megat Junid (kiri) menyerahkan surat pelantikan JPKKP Parlimen Kuala Pilah kepada Ismail sambil diperhatikan oleh Mohamad Azhar dalam majlis di Kuala Pilah, Negeri Sembilan, hari ini. - FOTO/AFIFI HAFIZ MOHD. NOR
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seramai 393 orang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) di Negeri Sembilan akan menerima surat pelantikan mereka bermula hari ini.

Timbalan Pengarah Pembangunan Negeri, Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Azhar Saleh berkata, jumlah itu menerusi sebanyak 393 kuota JPKKP di negeri yang telah diperuntukkan berdasarkan jumlah kampung tradisi yang didaftarkan Kementerian Luar Bandar.

“Setiap JPKKP akan melibatkan seramai 13 orang keanggotaan termasuk pengerusi, setiausaha dan 11 orang ahli jawatankuasa.

“Di Negeri Sembilan seramai 393 orang pengerusi akan menerima surat lantikan mereka bermula di Parlimen Kuala Pilah hari ini dan diikuti kawasan Parlimen yang lain iaitu Seremban, Rasah, Port Dickson, Jempol, Tampin, Jelebu dan Rembau,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Surat Pelantikan JPKKP Negeri Sembilan Peringkat Daerah Kuala Pilah, hari ini.

Yang turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Juasseh yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tindakan Pembangunan Daerah Kuala Pilah, Datuk Ismail Lasim dan Setiausaha Politik Kepada Menteri Kesihatan, Datuk Megat Firdouz Megat Junid.

Menteri Kesihatan yang juga Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin merupakan Pengerusi Majlis Tindakan Pembangunan Negeri Sembilan.

Sementara itu, jelas Mohamad Azhar, JPKKP merupakan jawatankuasa yang mempunyai peranan penting dalam kalangan masyarakat terutamanya dalam mengenal pasti keluarga miskin yang memerlukan perhatian dan bantuan kerajaan.

“JPKKP bertindak menyalurkan maklumat dan membantu dalam gerak kerja pemutihan keluarga miskin dan miskin tegar dalam memastikan kesemua mereka keluarga mendapat bantuan yang sepatutnya,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN