PASIR PUTEH: Dianggarkan tiga juta pelancong domestik akan melawat negeri ini sepanjang tahun depan, jika sektor pelancongan dibenarkan beroperasi tanpa sebarang kekangan dalam tempoh tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri, Datuk Md. Anizam Abdul Rahman berkata, sasaran itu adalah berdasarkan prestasi pelancongan domestik di Kelantan ketika ini.
Antara tarikan utama kata beliau, produk pelancongan terbaharu, pengembaraan Train to Dabong yang semakin mendapat perhatian orang ramai dari seluruh negara, hasil promosi berterusan media arus perdana serta media sosial.
“Tidak dinafikan ribuan pengusaha chalet, hotel dan pelbagai kegiatan pelancongan dan kebudayaan di negeri ini menanggung kerugian kerana gagal beroperasi dalam tempoh yang terlalu lama.
“Apa pun, kelonggaran diberikan sekarang sudah membolehkan pengusaha industri kembali bernafas dan mula menjana pendapatan.
“Ini terbukti apabila Train To Dabong yang turut dipromosikan media tempatan mendapat kunjungan ramai. Aset pelancongan kita yang ‘beku’ sebelum ini sudah berjalan seperti biasa dengan norma baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas penutupan dan majlis penyampaian hadiah kepada pemenang Karnival Sukan Antara Jajahan oleh Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Pantai Bisikan Bayu, di sini hari ini.
Dalam karnival itu, acara bola sepak pantai dimenangi pasukan Pasir Puteh; jaringan gol (Tanah Merah), bocce (Bachok), pentaq (Machang), bola tampar pantai (Pasir Mas) dengan pasukan Tanah Merah dinobatkan sebagai juara keseluruhan.
Mengulas lanjut, Md. Anizam berkata, kesemua pantai bermula dari daerah ini hingga ke Tumpat, lokasi air terjun, bukit serta gunung sudah dibangunkan semula dan bersedia menerima kehadiran pelancong.
“Berdasarkan statistik terkini semua penginapan termasuk hotel, chalet dan rumah rehat mula mendapat permintaan tinggi. Kehadiran pelancong luar Kelantan sekarang lebih 50,000 orang sebulan, dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini.
“Kita andaikan sebanyak 65 peratus orang luar Kelantan melancong ke negeri ini sejak kelonggaran merentas negeri dibenarkan,” katanya. -UTUSAN ONLINE