275 tong gas LPG bersubsidi bernilai RM65,310 dirampas - Utusan Malaysia

275 tong gas LPG bersubsidi bernilai RM65,310 dirampas

SEBANYAK 275 tong gas LPG bersubsidi dirampas dalam serbuan dijalankan KPDNHEP Selangor di sebuah premis di Bukit Kemuning, Shah Alam, Selangor pada 17 November lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor merampas masing-masing 204 tong berisi gas petroleum cecair (LPG) bersubsidi seberat 14 kilogram (kg) dan 71 tong gas kosong bernilai RM65,310 dalam serbuan dijalankan di sebuah premis di Bukit Kemuning, di sini 17 November lalu.

Turut ditahan empat warga asing terdiri daripada seorang warga Indonesia dan tiga warga Myanmar dipercayai pekerja di premis terbabit dalam serbuan yang dijalankan bermula pukul 3 petang, 17 November dan berakhir pukul 5 pagi, keesokannya.

Pengarah KPDNHEP Selangor, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, hasil maklumat risikan telah mengenal pasti premis yang tidak memiliki sebarang lesen sah bagi runcit atau borong terbabit disyaki menjalankan pemindahan gas LPG dari tong gas bersubsidi berat 14 kg kepada tong gas industri berat 50 kg.

“Pemeriksaan yang dilakukan di premis terbabit mendapati terdapat sebuah lori berada dalam premis yang disyaki menyimpan sejumlah tong LPG berat 14 kg dan 50 kg diletakkan di atas pelantar.

“Turut ditemui set hos penyambung dan alat timbang pelantar dan kita syaki terdapat aktiviti pemindahan gas petroleum cecair dari tong subsidi kepada tong industri dijalankan di premis terbabit,” katanya pada kenyataan akhbar hari ini.

Menurutnya, KPDNHEP Selangor telah menyita sejumlah 204 unit tong berat 14 kg yang disyaki mengandungi LPG, 71 unit berat 14kg bagi tong gas kosong dan lain-lain alat serta dokumen yang disyaki terlibat dengan kegunaan perlakuan pemindahan gas petroleum cecair dari tong subsidi kepada tong industri.

Ujarnya, empat pekerja premis terbabit turut ditahan bagi membantu siasatan di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961.

“Satu kertas siasatan telah dibuka dan kes disiasat di bawah Seksyen 21, AKB 1961 kerana memiliki barang kawalan dalam keadaan menimbulkan syak munasabah untuk melakukan kesalahan di bawah Peraturan 3(1) Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 membabitkan aktiviti mengilang LPG tanpa lesen sah.

“Jika sabit kesalahan, boleh didenda sehingga RM1 juta bagi orang perseorangan atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, KPDNHEP Selangor memberi amaran kepada mana-mana individu atau syarikat agar lebih bertanggungjawab dalam menjalankan aktiviti perniagaan terutamanya yang melibatkan barang bersubsidi.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung salah laku peniaga yang tidak beretika boleh mengemukakan aduan melalui saluran rasmi portal e-aduan.kpdnhep atau menghubungi call centre 1-800-886-800.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN