ALOR SETAR: Seramai 251,012 murid dan pelajar daripada 752 sekolah rendah dan menengah di Kedah hari ini memulakan sesi persekolahan secara bersemuka dengan penggiliran selepas negeri ini beralih ke Fasa Empat Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Pengarah Pendidikan Kedah, Rozaini Ahmad berkata, seramai 154,214 orang merupakan murid tahun satu hingga enam manakala 96,798 orang lagi merupakan pelajar sekolah menengah melibatkan kelas peralihan serta tingkatan satu hingga empat.
“Untuk sekolah rendah yang beroperasi hari ini ialah sebanyak 548 dan sekolah menengah yang beroperasi hari ini pula adalah sebanyak 204 dengan menjadikan keseluruhan sekolah ialah 752 sekolah beroperasi hari ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sesi bersemuka institusi pendidikan yang berada di bawah Kementerian Pendidikan di Kedah, Perlis, Perak, Pulau Pinang dan Sabah mengikut ketetapan pengoperasian fasa empat PPN itu akan bermula hari ini dan esok.
Pengoperasian sekolah itu, di Kedah bermula hari ini manakala Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah pula bermula esok. -UTUSAN ONLINE










