1,899 saman trafik bernilai RM 231,000 dikutip Polis KL - Utusan Malaysia

1,899 saman trafik bernilai RM 231,000 dikutip Polis KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sebanyak 1,899 saman trafik bernilai RM 231,000 dikutip polis Kuala Lumpur dalam tempoh enam jam semasa program hari bertemu pelanggan di pusat beli belah Publika, Dutamas, di sini hari ini.

Menerusi program berkenaan, selain pemberian diskaun saman trafik, orang ramai berpeluang berinteraksi bersama anggota polis selain  pameran kelengkapan, senjata dan barang-barang kes daripada beberapa jabatan terlibat.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kasim berkata, program itu adalah inisiatif anjuran Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Sentul sebagai usaha mendekatkan pasukan polis dengan masyarakat.

“Saya percaya kaedah sebegini dekatkan kita pada masyarakat dan kita dapat faham apa yang mereka mahu dari agensi (kerajaan).

“Program sebegini diteruskan di Kuala Lumpur dan berharap diteruskan di daerah lain dengan tujuan sama,” katanya dalam sidang akhbar di The Square, Publika di sini hari ini.

Yang hadir dalam program berkenaan ialah Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Yahaya Othman dan ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai.

Mengulas lanjut, Azmi berkata, tujuan utama program berkenaan adalah membuka ruang kepada orang ramai memberikan maklum balas berhubung kualiti sistem penyampaian perkhidmatan Polis di Kuala Lumpur, khususnya.

Beliau berharap program itu dapat mempromosikan konsep ‘Community Policing’ iaitu masyarakat berganding bahu dengan polis dalam usaha mencegah dan memerangi jenayah.

“Inisiatif tersebut diharap dapat mengurangkan kadar ketakutan masyarakat terhadap jenayah dengan kehadiran polis dalam kalangan masyarakat.

“Polis Kuala Lumpur akan terus mengadakan program seperti ini dalam usaha menurunkan kadar jenayah di samping memberikan kesedaran kepada maysarakat bagi mengelakkan masyarakat menjadi mangsa jenayah,” jelasnya .- UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN