SHAH ALAM: Sejumlah 148.3 tan metrik sampah terdiri daripada sisa makanan dan buangan boleh kitar semula dikumpulkan menerusi program Komuniti Sifar Sisa (Kosis), merangkumi 17 Program Perumahan Rakyat (PPR) di seluruh Semenanjung sejak 2019.
Sehingga Oktober tahun ini, 122.6 tan metrik bahan buangan kitar semula dan 25.7 tan metrik sisa makanan dikumpulkan menerusi penglibatan 25 peratus penduduk yang menyertai Kosis.
Dengan jumlah tersebut, penduduk dari 12 negeri yang terlibat meraih pendapatan keseluruhan sebanyak RM46,257 daripada sampah yang dikumpulkan dan dibeli oleh Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).
Bagaimanapun, jumlah kutipan sampah itu dianggap rendah namun mencapai sasaran apabila 25 peratus penyertaan komuniti dicapai berbanding 15 peratus yang dijangkakan.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Dr. Ismail Abd. Muttalib berkata, sebanyak 40 peratus penduduk di setiap kawasan perumahan di seluruh negara disasarkan menyertai Kosis tahun depan.
Menurutnya, program di bawah Dasar Kebersihan Negara membantu penduduk khususnya di PPR menjalankan rawatan sisa makanan serta menghantar barangan kitar semula melalui kaedah penebusan mata ganjaran termasuk tunai (trash to cash).
“Komitmen terhadap pelaksanaan inisiatif amalan dan budaya kebersihan ini bukan sekadar menyumbang kepada tahap kebersihan yang baik, bahkan mampu menjana kemakmuran ekonomi.
“Sebagai contoh, menerusi penggunaan sisa buangan yang efisien, industri kitar semula mampu menjadi bidang berpotensi untuk diterokai sebagai ekonomi baharu yang berupaya merangsang ekonomi kitaran dalam kalangan pemain industri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Konvensyen Mendaya Komuniti di bawah Dasar Kebersihan Negara di yang turut dihadiri Pengerusi SWCorp, Datuk Rizalman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Ismail Mokhtar.
Ismail menambah, menerusi program Kosis, kadar kitar semula kebangsaan dapat ditingkatkan daripada 30.67 pada 2020 kepada 31.52 peratus pada tahun ini dan kadar itu disasar mencapai 40 peratus pada 2025.
Jelas beliau, peringkat awal pelaksanaan menyasarkan penglibatan dalam kalangan penduduk PPR kerana mempunyai komuniti yang ramai selain kebanyakannya terdiri daripada golongan B40.
“Inisiatif ini memberi keutamaan kepada usaha sepakat membantu rakyat tanpa mengira lapisan masyarakat melalui pembudayaan amalan kitar semula dengan objektif mendidik komuniti mengasingkan sisa pepejal.
“Selain itu, masyarakat dipupuk mengurangkan penghantaran sisa ke tapak pelupusan, membudayakan amalan menghargai sisa sebagai sumber dan membantu meningkatkan ekonomi keluarga B40,” ujarnya.
Dalam pada itu, Ismail turut menyeru penglibatan kerajaan negeri bagi memastikan PPR di bawah projek perumahan peringkat negeri dapat menyertai program Kosis. – UTUSAN ONLINE