Yusof nafi tinggalkan Warisan, itu hanya spekulasi - Utusan Malaysia

Yusof nafi tinggalkan Warisan, itu hanya spekulasi

DR. YUSOF YACOB dan JAUJAN SAMBAKONG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sindumin, Datuk Dr. Yusof Yacob menafikan khabar angin beliau meninggalkan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Ketua Penerangan Warisan ini berkata, laporan akhbar menyatakan beliau meninggalkan parti itu hanya sekadar spekulasi dan sebarang perkembangan akan diumumkan kemudian.

“Itu hanya spekulasi..nanti dulu,” katanya ketika mengulas tentang khabar angin beliau meninggalkan Warisan.

Menurut Yusof, laporan mengenai keputusannya meninggalkan parti itu sekadar satu spekulasi.

“Saya akan mengadakan sidang media pada Jumaat depan, selepas sembahyang (solat Jumaat) mungkin di sini (Kota Kinabalu),” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Warisan, Datuk Jaujan Sambakong menyifatkan laporan Yusof meninggalkan parti itu hanya sekadar satu khabar angin.

Katanya, beliau percaya ADUN Sindumin itu seorang pemimpin yang matang dan tidak akan membuat keputusan terburu-buru meninggalkan parti Warisan.

“Saya ada bersama dia (Yusof) semalam dan dia tiada menyebut tentang meninggalkan parti. Dia ada memberi pandangan kepada parti dan kita kena mengambil perhatian perkara itu, tidak salah dia memberikan pandangan kerana itu haknya.

“Namun, saya percaya dia seorang yang matang dan pandangan yang diberikan kepada parti itu berdasarkan pengalamannya jadi, saya percaya tidak semudah itu dia akan meninggalkan parti,” katanya.

Mengulas lanjut, ADUN Sulabayan ini berkata, beliau mengutuk sebarang tindakan membeli ADUN yang didakwa sedang berlaku di Sabah. Itu satu perbuatan yang tidak menghormati sistem demokrasi di negara ini.

“Apabila sistem demokrasi itu dicemari maka, kegiatan menjual beli akan berlaku. Rakyat sudah membuat pilihan menerusi pilihan raya maka, hormati keputusan rakyat,” katanya.

Berikutan itu, beliau sekali lagi menggesa agar undang-undang anti-lompat parti perlu segera diwujudkan bagi memastikan budaya membeli wakil rakyat ini dihentikan demi kestabilan politik dan kemakmuran negara.

Semalam, sumber terdekat ADUN Sindumin ini memaklumkan Yusof membuat keputusan meninggalkan parti Warisan bagi menjadi ADUN Bebas kerana ingin membantu rakyat di kawasannya.- UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN