fbpx

Wiski TIMAH: Mufti Pulau Pinang gesa kerajaan arah nama, imej ditukar

WAN SALIM WAN MOHD. NOOR

GEORGETOWN: Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor  melahirkan rasa terkejut dan kecewa dengan iklan sejenis arak buatan tempatan diberi nama ‘TIMAH’ yang memaparkan wajah seorang lelaki berjanggut dan memakai kopiah. 

Kata beliau, sudah menjadi kelaziman bagi masyarakat Melayu yang mana ‘Timah’ adalah singkatan daripada Fatimah iaitu nama puteri Nabi Muhammad SAW yang amat dihormati oleh umat Islam. 

Sehubungan itu, katanya, menjenamakan arak dengan TIMAH dianggap oleh umat Islam sebagai satu penghinaan yang tidak seharusnya berlaku. 

“Pengeluar wiski berkenaan perlu peka terhadap sensitiviti umat Islam berkaitan dengan isu ini. 

“Lebih memburukkan keadaan apabila gambar yang dipaparkan di botol minuman tersebut seolah-olah imej seorang yang beragama dengan kopiah dan janggutnya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Menurut beliau, bagi masyarakat Islam di negara ini yang mana di dalam Perlembagaan dinyatakan Islam sebagai agama Persekutuan, maka tidak sepatutnya Malaysia menjadi sebuah negara pengeluar wiski. 

Jelas beliau, pihaknya tidak membantah arak diminum oleh orang bukan Islam tetapi kerajaan perlu mengarahkan syarikat pengeluar minuman itu segera menukar jenamanya beserta gambar pada botolnya supaya tidak menyentuh sensitiviti  umat Islam. 

“Ini demi memelihara suasana harmoni dalam hubungan antara pelbagai kaum di negara ini. 

“Kita juga berharap para pemimpin politik tanah air terutama yang beragama Islam akan turut menyatakan bantahan terhadap tindakan tidak sensitif oleh syarikat pengeluar minuman beralkohol ini,” katanya. – UTUSAN ONLINE 

 

Ikuti kami di saluran media sosial : Facebook, Twitter, Instagram, Youtube, Telegram & TikTok

BERITA BERKAITAN