PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menjadikan laman web https://covidnow.moh.gov.my sebagai penanda aras bagi perkongsian data penyakit lain pada masa akan datang.
Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kawalan Penyakit KKM, Dr A. Maheshwara Rao berkata, buat masa ini, web terbabit menjadi tempat perkongsian semua data berkaitan Covid-19 yang boleh dibaca dan dianalisis sekali gus menjadi saluran penting kepada semua pihak.
“Melihat kejayaan web terbabit, ia menjadi penanda aras kepada KKM. Perkara seumpama ini sangat penting kerana melalui data yang lengkap, kami sebagai doktor boleh menganalisisnya bagi mencari jalan penyelesaian terbaik.
“Sebelum ini data Covid-19 dikongsikan secara konvensional melalui kenyataan media Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah tetapi kita menyedari, semua data itu perlu bersifat mampan yang boleh dikongsikan secara meluas,” katanya ketika sesi Libat Urus KKM dan pembangun bersama web Covid-19 dengan rakan media yang berlangsung secara dalam talian, hari ini.
Maheshwara berkata, web ini baru sahaja sebulan dilancarkan dan ia lengkap hingga membolehkan semua pihak mengetahui apa sahaja perkembangan berkaitan pandemik ini.
“Atas faktor itulah, KKM berpendapat untuk mendedahkan semua data kepada umum sekali gus mampu menjadi motivasi kepada orang ramai.
“Tindakan ini menyaksikan perkongsian ini mendapat sambutan ramai terutama penganalisis data dan orang ramai,” katanya.
Awal bulan lalu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkata, orang ramai kini boleh mendapatkan maklumat terkini mengenai situasi pandemik di negara ini dengan melayari laman web baharu diperkenalkan KKM, COVIDNOW.
“Menerusi laman web berkenaan ia akan memaparkan data yang lebih mudah difahami serta diakses oleh masyarakat umum.
“Saya berharap dengan data dan maklumat yang dikongsikan di COVIDNOW, masyarakat mempunyai pemahaman dan kesedaran yang lebih baik berkenaan situasi jangkitan COVID-19 dalam negara,” katanya. – UTUSAN