GUA MUSANG: Seorang wartawan sambilan disahkan meninggal dunia selepas pengsan dalam sebuah kenderaan pacuan empat roda dinaikinya di Kampung Pulai, di sini hari ini.
Che Ramli Ibrahim, 62, yang bertugas dengan Media Prima Berhad rebah kira-kira pukul 3 petang ketika dalam perjalanan pulang selepas tugasan di sebuah kebun buah di situ.
Rakannya yang juga jurukamera sambilan, Sharuddin Ibrahim, 59, berkata, sebelum kejadian Che Ramli muntah dan mengadu pening kepala, letih dan mahu berehat dalam kereta milik pekebun ditumpangnya.
“Ketika dalam perjalanan pulang, kami berpisah kerana arwah menaiki kenderaan berlainan milik seorang lagi pekebun.
“Saya diberitahu, arwah duduk di kerusi penumpang hadapan telah pengsan lalu terus dibawa ke Hospital Gua Musang sebelum disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan pukul 4 petang,” katanya.
Katanya, sebelum menghadiri tugasan di kawasan kebun tersebut, keadaan arwah yang mempunyai penyakit kencing manis dan darah tinggi sejak beberapa tahun lalu kelihatan ceria.
“Jenazah Allahyarham akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam di Kampung Lembaga selepas solat Isyak,” katanya. – UTUSAN ONLINE