GEORGETOWN: Pasukan bomba tidak menolak kemungkinan terdapat unsur jenayah melibatkan kematian seorang wanita dalam kejadian kebakaran melibatkan dua buah premis di Jalan Kerian di sini petang ini.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan berkata, pihaknya menyerahkan siasatan berhubung kejadian melibatkan mangsa berusia 44 tahun dan berasal dari Sabah itu kepada pasukan polis.
“Kita difahamkan mangsa yang ditemukan dalam keadaan melecur pada bahagian atas badan tinggal di bilik tersebut sejak tiga tahun lalu.
“Pasukan bomba telah selesai memadamkan kebakaran yang berlaku pukul 3.30 petang tadi,” katanya ketika dihubungi di sini malam ini.
Terdahulu, media melaporkan mayat seorang wanita orang kurang upaya (OKU) ditemukan maut di bilik tidur utama di tingkat atas premis yang dijadikan penginapan petang tadi.
Mangsa dipercayai maut akibat terhidu asap kebakaran melibakan tiga bilik tidur dan sebuah premis karaoke yang terletak di aras bawah. – UTUSAN ONLINE