UPNM sertai Forum Serantau ASEAN Ke-24 - Utusan Malaysia

UPNM sertai Forum Serantau ASEAN Ke-24

UPNM menyertai Forum Serantau ASEAN Kali Ke-24 sebagai pengerusi bersama yang diadakan secara dalam talian bermula 4 Oktober hingga 6 Oktober lalu, bagi membincangkan isu-isu keselamatan serantau serta mengadakan kerjasama penyelidikan serta menguatkan jaringan di bawah payung akademik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) menjadi wakil Malaysia dalam Forum Serantau ASEAN Kali Ke-24 yang  diadakan secara dalam talian bermula 4 Oktober hingga 6 Oktober lalu.

Bukan itu sahaja, forum kali ini dipengerusikan oleh National Defence University dari Pakistan dan UPNM bertindak sebagai pengerusi bersama, yang mana secara tradisinya, pengerusi bersama menjadi tuan rumah pada persidangan akan datang.

Forum bertemakan In the Quest For Peace: Looking Beyond Perceptions disertai sebanyak 27 buah negara dari Asia Tenggara dan negara-negara Indo-Pasifik antaranya Korea Selatan, China, Jepun, India, Kanada, New Zealand dan Australia.

Forum ini memberi peluang kepada pengurusan kanan universiti, kolej dan institusi pertahanan dari negara-negara peserta untuk membincangkan isu-isu keselamatan serantau serta mengadakan kerjasama penyelidikan serta menguatkan jaringan di bawah payung akademik.

Delegasi Malaysia diketuai oleh Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Hasagaya Abdullah yang juga mempengerusikan sesi ketiga dengan subtema bertajuk Collaboration and Cooperation for Peace, selain dihadiri pengurusan tertinggi universiti, wakil Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Dalam Negeri.

Seramai tiga pembentang dari UPNM turut menyumbang idea mereka dalam forum ini iaitu Prof. Dr. Adam Leong Kok Wey, Lt. Jen. Datuk Fadzil Mokhar (Bersara) dan Prof. Datuk Dr. Jesbil Singh Sandhu.

Sepanjang forum tersebut, mesyuarat bilateral antara delegasi Malaysia dengan delegasi dari New Zealand dan Brunei Darussalam turut diadakan dan dipengerusikan oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Ts. Dr. Ahmad Mujahid Ahmad Zaidi serta Penolong Naib Canselor (Perkhidmatan, Jaringan Industri dan Hal Ehwal Korporat), Datuk Dr. Junaidah Kamarruddin.

Mesyuarat itu diadakan bagi membincangkan aspek kerjasama antara institusi pengajian serta pertukaran kepakaran dalam mendepani situasi semasa, malah delegasi Malaysia turut mempromosikan Maktab Ketahanan Nasional sebagai produk baharu Pusat Pengajian Pertahanan Nasional.

Malaysia akan menganjurkan forum edisi ke-25 dan mencadangkan dua tarikh iaitu 26 hingga 29 September 2022 atau 3 hingga 6 Oktober 2022. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN