PASIR MAS: Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menunaikan impian dua remaja miskin untuk melanjutkan pengajian di peringkat ijazah sarjana muda dengan mengenakan kadar yuran minimum kepada mereka.
Dua remaja tersebut, Mohamad Zil Alif Alias, 19, dan Mohamad Firdaus Zamzu,19, pada mulanya terpaksa melupakan hasrat menyambung pelajaran kerana masing-masing berdepan masalah kewangan.
Mereka berdua merupakan bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Ibrahim II, di sini.
Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UMK, Profesor Dr. Razli Che Razak berkata, Mohamad Zil Alif ditawarkan pengajian Ijazah Teknologi Kreatif manakala Mohamad Firdaus pula Ijazah Pengajian Warisan bagi Sesi September 2021/22.
“Mereka berdua membayar yuran pada kadar minimum dan telah mendaftarkan diri di UMK bersama pelajar baharu pasca siswazah lain bagi Sesi September 2021/22 ,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Terdahulu beliau menyampaikan sumbangan kepada keluarga Mohamad Firdaus di Kampung Serungga, di sini.
Sementara itu, Mohamad Firdaus memberitahu, dia bersyukur dan gembira apabila diberi peluang bergelar mahasiswa UMK dan menyambung pengajian dalam bidang diminati iaitu pengajian warisan.
“Keluarga saya berdepan masalah kewangan akibat penularan pandemik Covid-19. Sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), bapa yang mencari rezeki sebagai tukang rumah tidak dapat bekerja.
“Kami tidak mampu membayar yuran pendaftaran masuk universiti kerana bapa juga perlu menyara adik-adik saya yang masih bersekolah. Seorang daripada mereka pula orang kurang upaya (OKU),” ujarnya.- UTUSAN ONLINE