SEGAMAT: Pada usianya yang sudah menjangkau 107 tahun, Umi Kastawi masih mampu mengingati dengan jelas bukan sahaja ahli keluarganya tetapi jiran-jiran yang sering bertandang untuk bertanya khabar wanita separuh abad itu.
Meskipun tahap pendengaran serta penglihatannya semakin berkurangan serta kini terpaksa dibantu untuk bergerak, Umi kini mungkin individu kedua tertua di negara ini selepas A. Annamah, 110, yang berada di Pulau Pinang.
Cucunya yang juga seorang guru, Nurhayati Khalil, 41, berkata, secara rasmi usia neneknya adalah 107 tahun namun jika diikutkan kepada umur sebenar, wanita itu mungkin sudah berusia lebih daripada itu berdasarkan tanda bintang atau asterisk pada hujung nombor kad pengenalan.
Katanya, Umi dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, tujuh orang cucu dan 28 cicit serta tiga piut.
“Pada usia muda, nenek sangat mengambil berat perihal pemakanan dan hanya memakan makanan sihat, mengurangkan pengambilan gula, amalkan ulam-ulaman selain tidak gemar memakan daging serta kerap berpuasa sunat.
“Nenek saya juga seorang yang cergas apabila dia tidak pernah duduk diam ketika usia mudanya dan sering bercucuk tanam di sekitar kediamannya.
“Bayangkan setiap kali balik daripada menoreh getah dia terus buat kerja-kerja lain seperti memasak, menanam sayur, bela ayam dan pelbagai lagi,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Liang Batu, di sini, semalam
Sementara itu, kongsi Nurhayati, selain pemakanan sihat dan kurang mengambil gula, petua yang diamalkan neneknya adalah dengan amalan berselawat dan minum air suam lebih enam gelas sehari yang menjadi rahsia sihat pada usia lanjut.
“Berselawat tanpa mengira waktu antara pesanannya setiap masa kepada kami sekeluarga selain bersyukur serta pasrah dalam apa juga dugaan kehidupan.
“Nenek juga berpesan kepada cucu cicit agar belajar bersungguh-sungguh dan ini terbukti apabila lapan ahli keluarga kami menjadi guru. Kami bersyukur nenek dikurniakan umur yang panjang dan mampu melihat cucu cicit membesar di depan mata,” katanya.
Nurhayati berkata, Umi juga sudah lengkap menerima dua dos suntikan vaksin baru-baru ini.
Untuk rekod, Malaysia Book of Records (MBOR) sebelum ini mengiktiraf Annamah sebagai wanita tertua di Malaysia sejak tahun lalu. -UTUSAN ONLINE