Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang - Utusan Malaysia

Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang

ANGGOTA bomba sukarelawan memadam kebakaran sebuah rumah di Kampung Betong, Mukim Jeneri, Sik semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIK: Tujuh sekeluarga tinggal sehelai sepinggang selepas rumah diduduki mereka musnah dalam kebakaran di Kampung Betong, Mukim Jeneri dekat sini, semalam.

Mangsa, Abd. Mutalib Manaf, 42, berkata, dia tiada di rumah kerana bekerja berhampiran kampung ketika kejadian pada pukul 4.35 petang.

“Semasa kejadian hanya ada isteri, Anisah Osman, 35, dan empat anak berusia dari tiga tahun hingga 15 tahun serta abang saya, Solahuddin, 43, di rumah.

“Pada masa itu, mereka menonton televisyen sebelum anak kedua, Nor Balqis Khairulnisa, 12, tercium bau hangit dan asap,” katanya di sini hari ini.

Katanya, anaknya itu kemudian membuka pintu tengah berhampiran bilik abangnya dan ternampak dinding rumah terbakar sehingga bahagian atas.

“Mereka cuba memadamnya tetapi gagal lalu meminta pertolongan jiran sebelum orang kampung menghubungi bomba,” ujarnya. 

Ujarnya, dia reda dengan kejadian itu dan bersyukur kerana isteri, anak-anak serta abang terselamat dalam kejadian tersebut.

Sementara itu, Pengarah Bomba Sukarela Sukarela Yayasan Jariah Malaysia (BSYJM), Mahadzir Abdul Hamid berkata, setelah menerima panggilan, anggotanya tiba di lokasi kejadian tujuh minit kemudian.

“Operasi memadam kebakaran menghadapi kesukaran apabila ketiadaan sumber bekalan air Syarikat Air Darul Aman (SADA) di samping berlaku kerosakan pada pili bomba di lokasi kejadian.

Katanya, kebakaran berjaya dipadam sepenuhnya setengah jam kemudian yang mana punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan. – UTUSAN ONLINE 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN