Tidak wajar bandingkan Langkawi dengan Batu Puteh - Utusan Malaysia

Tidak wajar bandingkan Langkawi dengan Batu Puteh

DR. MAHATHIR MOHAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tidak wajar membandingkan Pulau Langkawi dengan Pulau Batu Puteh kerana Langkawi adalah pulau diiktiraf sebagai milik Malaysia sedangkan Batu Puteh adalah beting pasir yang dituntut oleh kedua-dua negara.

Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, Langkawi tidak pernah dituntut oleh Siam dan pegawai Kerajaan Negeri Kedah tidak pernah menyatakan kepada Siam bahawa Kedah tidak anggap Langkawi bukan milik negeri itu.

Kata Ahli Parlimen Langkawi itu lagi, sebaliknya Kerajaan Negeri Johor melalui surat telah menyatakan bahawa negeri itu tidak menuntut Pulau Batu Puteh sebagai miliknya.

“Kemudian Malaysia mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Malaysia. Maka ini dipertikai oleh Singapura dan berlakulah kontroversi.

“Percubaan secara rundingan untuk Malaysia memiliki semula Pulau Batu Puteh bertahun-tahun tidak berjaya. Singapura masih mendakwa Pulau Batu Puteh adalah milik Singapura,” katanya dalam catatan blog Chetdet hari ini.

Dr. Mahathir menambah, negara ini boleh berperang untuk rampas Pulau Batu Puteh, sebaliknya memerlukan kos dan korbannya adalah amat tinggi.

“Ia tidak dapat diterima oleh kita. Lagi pun belum tentu kita menang. Kita terus berunding tetapi tidak menghasil apa-apa keputusan. Kita dan juga Singapura bersetuju rujuk kepada Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ).

“Tetapi untuk ini kedua-dua pihak perlu berjanji secara bertulis menerima apa sahaja keputusan yang dibuat oleh ICJ. Tidak ada rayuan terhadap keputusan ICJ. Keputusan ICJ adalah muktamad.

“Rujukan kepada ICJ hanya diterima oleh ICJ jika perjanjian menerima tanpa soal dan keputusannya dihormati,” jelas beliau dan kemudian menjelaskan negara yang bermaruah mesti hormati janji manakala hanya negara yang tidak bermaruah yang akan mungkir janji.

“Muktamad adalah muktamad. Jika sebuah negara tidak hormati janji, tidak ada negara lain yang akan buat perjanjian dengan negara berkenaan. Ia menjadi negara pariah. 

“Sebab itu sebelum berjanji kajian sedalam-dalamnya perlu dibuat. Jika tidak yakin jangan buat janji,” jelas beliau.

Dalam pada itu, Dr. Mahathir berkata, Malaysia mempunyai dasar liberal dalam pemilikan tanah kerana sesiapa sahaja boleh milik tanah dan bukan warga negara pun boleh milik tanah.

Jelas beliau, perkara itu mendedahkan negara kepada kehilangan tanah yang sudah dimiliki oleh orang asing dan jika sebahagian yang besar tanah dimiliki oleh orang asing, maka negara sudah tidak lagi secara fizikal, tanah milik warganegara.

“Inilah yang berlaku di Singapura. Walaupun Singapura asalnya milik negeri Melayu, hari ini ia sudah jadi negara asing.

“Hari ini walaupun negara ini dikenali sebagai Tanah Melayu, tetapi orang Melayu sendiri sudah kehilangan tanah mereka. Nasib baik yang memiliki tanah yang bernilai tinggi dan besar dimiliki oleh warga Malaysia,” katanya.

Selain itu, Dr. Mahathir berkata, satu lagi cara untuk hilang negara ialah dengan menjual tanah yang digali dalam negara atau laut milik negara kepada negara lain. 

“Secara langsung kita menjual sebahagian dari negara kepada negara lain. Jika tanah yang dijual adalah untuk menambak dan membesar negara lain, dia tidak berbeza dengan menjual bahagian-bahagian tertentu negara kepada negara lain.

“Hari ini kita jual air dan tanah berlori-lori dan berkapal-kapal ke negara lain guna untuk membesar negara mereka atau kita jual laut untuk ditambak dan dimiliki serta diduduki oleh orang lain, keadaannya tidak berbeza dari menjual bahagian-bahagian negara kepada negara asing.

“Kita jual Singapura. Lazimnya apabila penjajah tidak lagi berminat, tanah yang dijual dikembalikan kepada negara asal. Itulah yang terjadi kepada Hong Kong, Goa, Pondicherry. Tetapi tidak Singapura. Tanah dan air yang kita jual ke Singapura untuk membesar pulau itu menjadi kawasan milik penduduk Singapura, dibangun di bawah kuasa Kerajaan Singapura,” jelasnya.

Beliau memberitahu, itulah sebabnya Kerajaan Malaysia melarang penjualan tanah kita dan mempertikai jualan air kepada negara asing namun malangnya beberapa pentadbiran Kerajaan Malaysia rela untuk dibayar tiga sen untuk 1,000 gelen air mentah kepada negara asing kerana malas atau takut menuntut hak. – UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya