SHAH ALAM: Kemudahan bertaraf menteri kepada Ketua Pembangkang tidak perlu disediakan memandangkan pendapatan yang boleh diterima bagi ahli Parlimen memegang jawatan itu boleh mencecah RM60,000 hingga RM70,000.
Kemudahan seperti pejabat yang diberikan juga dikatakan cukup sekadar ada bagi membolehkan Ketua Pembangkang menjalankan fungsinya dengan lancar dan tidak perlu membuat sebarang pengubahsuaian tidak penting.
Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim), Mohd. Azmi Abdul Hamid berkata, pemberian kemudahan dan pendapatan yang terlalu mewah dikhuatiri menyebabkan ramai wakil rakyat terdorong merebut kuasa.
“Tetapi tidak perlu mengeluarkan perbelanjaan besar untuk mengubah suai pejabat seperti yang lazim diamalkan. Tidak perlu elaun lumayan sebanyak itu yang menunjukkan adanya sistem elit politik di negara ini yang meraih kemudahan berlebihan.
“Jurang pendapatan seorang Perdana Menteri dan menteri dengan rakyat biasa adalah sangat ketara dan ini bukan contoh yang sepatutnya ditonjolkan di negara ini. Sebahagian elaun itu tidak munasabah di kaca mata rakyat,” katanya dalam satu kenyataan. – UTUSAN ONLINE









