Tiada lagi tempoh menunggu 15 hari buat umrah berikutnya

Tiada lagi tempoh menunggu 15 hari buat umrah

KUMPULAN pertama jemaah umrah dari Malaysia selepas pintu sempadan negara dibuka bergambar di dataran Masjidil Haram baru-baru ini. – FOTO/IHSAN EMRAZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Berita baik buat bakal jemaah umrah apabila kerajaan Arab Saudi sudah pun memansuhkan peraturan tempoh menunggu 15 hari untuk menempah umrah yang berikutnya.

Ia dimaklumkan Emraz Travel & Tours Sdn. Bhd. menerusi akaun sosial rasminya susulan kemasukan kumpulan pertama jemaah dari Malaysia ke Tanah Suci dikelolakan oleh agensi itu.

Inisiatif Arab Saudi itu dijangka mampu membantu dalam pengurangan kos umrah terutama hotel apabila jemaah tidak perlu tunggu begitu lama di Madinah sebelum memasuki Makkah.

“Tiada lagi tempoh menunggu dan boleh memohon slot umrah pada bila-bila masa menerusi aplikasi Eatamarna disediakan oleh Arab Saudi bagi merekodkan kehadiran jemaah,” katanya.

Agensi berpusat di Putrajaya itu turut memuat naik beberapa foto eksklusif kumpulan sulung seramai 11 orang jemaah negara ini yang mengerjakan umrah di Masjidil Haram pada Isnin lalu, antaranya selebriti terkenal, Ashraf Muslim dan sebelum itu jemaah ini melakukan aktiviti ziarah di kota suci Madinah selepas tiba di Jeddah dari tanah air pada 14 Oktober lalu.

Ini diikuti kumpulan kedua seramai 25 orang yang bertolak semalam termasuk tiga staf Emraz selain antaranya ialah personaliti TV3, Hazlin Hussain dan pesohor tular, Dr. Ahmad Samhan.

Mengulas lanjut, Emraz yang ditubuhkan sejak 2015 berkata, Arab Saudi juga memansuhkan penempahan tempoh 30 hari untuk memasuki ruang Raudhah di Masjid Nabawi, Madinah sekali gus membolehkan jemaah menziarahi makam Rasulullah SAW pada bila-bila masa asalkan mendaftar dalam aplikasi penjejak Tawakalna seumpama MySejahtera.

Sebelum peraturan itu dihapuskan, jemaah hanya boleh mengerjakan umrah sekali sahaja dan jika berhasrat melakukan berikutnya, mereka perlu tempah slot dan menunggu dua minggu.

Bagaimanapun, susulan pemansuhan jarak saf solat berjemaah di Masjidil Haram pada Isnin lalu, jemaah kini bebas melaksanakan ibadah sunat itu seberapa banyak yang mereka gemari ekoran trend penurunan kes penularan wabak Covid-19 di Arab Saudi yang semakin terkawal, namun jemaah masih wajib lengkap dua dos vaksin dari jenis ditetapkan.

Sementara bagi bakal jemaah warga asing yang tidak menerima suntikan imunisasi Pfizer, AstraZeneca dan Moderna, mereka masih perlu mendapatkan dos penggalak sebelum tiba.

Sebelum pintu sempadan negara ditutup tahun lepas, hampir 300,000 jemaah Malaysia menunaikan umrah pada setiap tahun, iaitu kelapan paling ramai dalam kalangan warga asing.

Emraz dalam pada itu turut memuat naik rakaman video eksklusif suasana Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz di Jeddah lebih luas dan moden untuk keselesaan penumpang termasuk terminal dilengkapi jambatan udara dan tren ulang-alik seumpama di KLIA bagi membawa penumpang ke dewan ketibaan tanpa perlu menaiki bas.

Terminal baharu itu juga ada sebuah masjid dengan kapasiti hampir 4,000 jemaah dan ia dibina sebagai persiapan untuk menyambut lebih tiga juta bakal jemaah haji dari seluruh dunia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.