KLANG: Seorang kontraktor pembersihan terkedu melihat rumahnya dimasuki penjenayah menerusi lubang kecil pintu belakang di Kampung Bukit Kapar di sini, malam tadi.
Kejadian kira-kira pukul 10 malam itu disedari mangsa, Mohd. Afiq Mat Buang, 32, yang kehilangan dua unit komputer riba dan dokumen penting.
Mohd. Afiq berkata, ketika kejadian dia baru pulang bercuti selepas kebenaran rentas negeri di kampung halaman mentuanya di Gemas, Negeri Sembilan.
“Setibanya di rumah, saya dan isteri melihat pintu belakang sudah dipecahkan dengan mempunyai lubang kecil.
“Kami kemudian memeriksa dan mendapati dua komputer riba, beg dan dokumen penting yang berada di dalam bilik tidur hilang,” katanya ketika dihubun Utusan Malaysia hari ini.
Menurutnya, dia yang kerugian kira-kira RM4,500 membuat laporan di Balai Polis Meru untuk tindakan lanjut.
Tambah Mohd. Afiq, kejadian itu kali pertama berlaku sepanjang menyewa rumah berkenaan sejak empat tahun lalu.
“Saya cuma mahu komputer dan dokumen itu dipulangkan semula oleh individu berkenaan.
Dokumen berkenaan sememangnya amat penting bagi urusan kerja saya,” ujarnya.
Terdahulu, kejadian itu tular di media sosial selepas Mohd. Afiq memohon kerjasama orang ramai dan menawarkan imbuhan RM2,000 sekiranya menemukan semula barangan yang hilang.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan iaitu pecah rumah. – UTUSAN ONLINE