KUALA LUMPUR : Mencipta populariti di usia yang muda, penyanyi kecil molek, Iman Troye, 19, mengaku enggan meletakkan keyakinan dapat menerobos masuk ke pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) biarpun sedar ada antara lagu nyanyiannya dianggap layak masuk bertanding.
Dalam rasa rendah diri, Iman atau nama sebenarnya, Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, menganggap pentas AJL terlalu besar untuk dirinya beraksi namun tidak menolak seandainya rezeki berpihak kepadanya.
“Saya sedar diri masih terlalu baru dalam industri dan tentunya banyak lagi kelemahan dari segi nyanyian terutamanya yang masih perlu diperbaiki.
“Jadi sebab itulah saya tak terfikir lagi tentang pentas AJL. Saya rasa masih belum layak dan ramai lagi orang yang betul-betul layak patut berada di situ,”katanya.
Iman berkata demikian semasa ditemui di sidang media pelantikan dirinya sebagai duta jenama popular dunia pembelajaran, PTTI dan simbolik pelancaran single terbaharunya, Nang di sebuah hotel terkemuka ibu negara.
Turut dilantik dan hadir sebagai duta ialah penyanyi rap, MK daripada kumpulan hip hop terkenal, K-Clique.
Selain itu, menurut Iman, dia bagaimanapun tidak menolak andai benar tertulis ada rezeki untuknya bertanding di pentas tersebut dan akan membuat persembahan terbaik demi peminat yang selama ini menyokong kerjaya seninya.
“Kalau dapat ke pentas AJL, Alhamdulillah. Rezeki bukan, dan saya akan cuba yang terbaik,” katanya.
Dalam pada itu, meraih pandangannya berhubung usikan peminat yang memberi julukan kepada dirinya sebagai Nabila Razali 2.0, Iman memandang dari sudut positif.
Tidak melatah, penyanyi ini juga mengaku dalam masa yang sama meminati keperibadian Nabila.
“Bagi saya, Nabila adalah seorang wanita yang sangat baik hati. Dia banyak bagi nasihat dan ajar saya macam-macam. Banyak lagi yang dia boleh tunjukkan cuma mungkin belum masa lagi.
“Kalau orang cakap saya macam Nabila Razali dan sebagainya, saya ambil dari sudut yang positif sebab dia sangat-sangat baik dan sangat berjaya dalam industri,” ujar Iman yang merupakan pelajar Diploma Muzik di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Shah Alam.
Dalam perkembangan lain, Iman juga melahirkan rasa syukur apabila turut diumumkan menerima anugerah 4x Platinum bersamaan RM1 juta ringgit dalam jumlah ‘Talent Management Revenue’ dalam tempoh setahun bergelar penyanyi.