Meskipun masih baharu dalam industri, Danial Chuer Hamasiah atau nama popularnya, Danial Chuer bertekad untuk menghasilkan karya-karya unik dan berbeza berbanding lagu-lagu yang pernah dihasilkan sebelum ini.
“Saya tak nak orang cakap lagu yang saya cipta dan nyanyikan semua sama sahaja. Saya ingin cuba tampilkan sesuatu berbeza setiap kali menghasilkan lagu.
“Bagi saya, itu adalah salah satu cara untuk kekal relevan dalam industri supaya semakin lama, pendengar pun boleh kenal identiti dan gaya menerusi muzik-muzik yang dihasilkan,” katanya yang berusia 20 tahun itu.
Namun begitu, dia akui, mengukir nama untuk kekal relevan dalam jangka masa panjang dalam industri ini bukan perkara mudah.
Katanya, antara cabaran terbesar buat dirinya sekarang kerana harus bersaing dengan bakat-bakat baharu yang turut mempunyai keistimewaan masing-masing.
“Pada era digital ini, lebih mudah untuk bakat-bakat baharu muncul dalam industri. Jadi, mencipta identiti sendiri menjadi semakin mencabar.
“Setakat ini, masih ada yang belum kenal suara atau muzik saya. Jadi, saya kini berusaha ke arah itu dengan mempelbagaikan genre nyanyian,” jelasnya.
Dengan semangat dan perwatakannya yang menarik, tidak mustahil pemuda ini mampu memenangi hati pendengar dan meningkatkan popularitinya.
Mungkin sudah ada yang mengenali Danial, kerana sebelum ini, dia menjadi juara pertandingan Idola Kecil Musim 6 pada 2013 dan Idola Kecil Ultra pada 2014.
Pada 2014 juga, Danial mengeluarkan single pertamanya Sinar Pelangi yang dicipta oleh AG Coco dan Alwani Badaruddin.
Pada 2020, sambil melanjutkan pelajarannya di Universiti Teknologi MARA (UITM) dalam bidang Muzik, Danial mencuba nasib dengan menyertai program I Can See Your Voice namun tidak berjaya menempatkan diri sebagai pemenang dalam program berkenaan.
Enggan berputus asa, anak kelahiran Sabah ini meneruskan langkahnya dengan menandatangani kontrak dengan label rakaman Aries Muzik dan seterusnya menerbitkan single keduanya, Ingin pada tahun lalu.
Baru-baru ini pula, Danial menghasilkan Bukan Aku yang dijadikan sebagai runut bunyi (OST) untuk drama Anak Sena.
“Kini, saya sedang berjinak-jinak mencipta lagu sendiri kerana ingin dikenali sebagai penyanyi dan penulis lagu yang mahir dalam penyusunan muzik.
“Saya juga terbuka berkolaborasi dengan lebih banyak penyanyi-penyanyi muda kerana sedang merancang untuk mengeluarkan lagu baharu,” katanya.