MELAKA: Fungsi kerajaan negeri tetap berjalan seperti biasa tanpa campur tangan politik selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka, kelmarin.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Kamel Mohamad berkata, agenda pembangunan kerajaan negeri tidak terjejas, malah, kakitangan awam akan terus bergerak dalam satu pasukan untuk melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
“Agenda pembangunan ekonomi Melaka berjalan seperti biasa dan pengurusan ini dilaksanakan oleh semua penjawat awam sama ada dilantik pada peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Setakat ini, kita tidak mempunyai masalah, semua berjalan lancar termasuk program vaksinasi dan persiapan untuk menerima semula kemasukan pelancong serta para pelabur seiring dengan peralihan Pelan Pemulihan Negara (PPN),” katanya.
Beliau berkata demikian selepas meninjau proses vaksinasi Covid-19 masyarakat orang asli di Balai Raya Taman Kejora, Tebong di sini hari ini.
Mengulas lanjut mengenai dakwaan Pakatan Harapan (PH) yang mempertikai keabsahan pentadbiran sementara Datuk Seri Sulaiman Md. Ali, Kamel memberitahu, perkara tersebut diserahkan kepada pihak bertanggungjawab untuk diurus mengikut proses perundangan.
“Berkenaan isu keabsahan ini, ia di bawah perundangan dan mempunyai saluran-saluran tertentu. Saya dimaklumkan perkara itu juga telah dilaporkan.
“Kita jelas, kita ada Perlembangan Negeri. Saya pasti pihak terlibat ada rujukan. Kita sebagai penjawat awam akan terus berkhidmat seperti biasa,” tegasnya.
Terdahulu, Yang Dipertua DUN, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh mengumumkan pembubaran DUN Melaka selepas perkara itu dipersetujui Yang Dipertua Negeri, Tun Mohd. Ali Mohd. Rustam.
Pembuburan itu diumumkan selepas bekas Ketua Menteri yang juga ADUN Sungai Udang (UMNO), Datuk Seri Idris Haron bersama ADUN Pengkalan Batu (Bebas), Datuk Norhizam Hassan Baktee; ADUN Pantai Kundor (UMNO), Datuk Nor Azman Hassan dan ADUN Telok Mas (Bersatu), Datuk Noor Effandi Ahmad bersepakat menarik sokongan terhadap Sulaiman. -UTUSAN ONLINE