PUTRAJAYA: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menubuhkan Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat dakwaan kematian individu berusia 90 tahun ke atas di negara ini tidak didaftarkan dalam sistemnya.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainuddin berkata, pasukan khas tersebut akan menyemak dan mengemas kini maklumat dan status individu terbabit bagi mengesahkan mereka masih hidup atau sudah meninggal dunia.
Beliau berkata, terdapat 63,620 individu yang berusia 90 tahun ke atas yang masih hidup dalam rekod JPN.
“Antara pendekatan yang digunakan JPN bagi mengesan status mereka adalah dengan menghubungi waris terdekat dan mencari mereka di alamat terakhir yang didaftarkan dengan JPN.
“Sekiranya kita mendapati mereka telah meninggal dunia berdasarkan pengesahan waris atau pihak-pihak tertentu, maka JPN akan mendaftarkan kematian mereka berdasarkan peruntukan perundangan sedia ada,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Hari Pendaftaran Negara Tahun 2021 dan Sambutan JPN 73 Tahun secara maya, semalam.
Katanya, beliau menyeru kerjasama daripada semua pihak supaya dapat membantu JPN dalam menyelesaikan perkara ini.
Dalam pada itu, Hamzah berkata, JPN kini sedang membangunkan Sistem Pengesahan Data Integrasi Kematian (SPDIM), iaitu satu sistem perkongsian pintar antara JPN dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menurutnya, SPDIM adalah satu integrasi di antara sistem JPN dengan Police Reporting System (PRS) yang melibatkan 690 balai polis di Semenanjung Malaysia.
“Sistem SPDIM ini memudahkan proses pengesahan kematian yang dilaporkan di 690 balai polis di seluruh negara dan melibatkan kematian yang tiada berunsur jenayah di rumah.
“Melalui sistem integrasi ini, JPN akan membuat pengesahan kematian ini secara dalam talian sekali gus mempercepat proses pendaftaran dan pengeluaran sijil kematian kepada waris,” katanya yang turut memberitahu pembangunan sistem ini adalah KPI 100 hari pertama dicapai Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, sebelum pelaksanaan SPDIM ini, rakyat perlu menunggu untuk mendapatkan sijil kematian, namun dengan adanya sistem ini pengeluaran sijil kematian boleh dibuat pada hari yang sama kematian dilaporkan di balai polis.
Sementara itu, menurut Hamzah, kerajaan dijangka melaksanakan inisiatif Identiti Digital Nasional (IDN) atau Digital ID sepenuhnya pada 2024.
Beliau berkata, proses perancangan dan pelaksanaan inisiatif Digital ID oleh JPN sudah bermula tahun ini.
Beliau berkata, Digital ID akan menjadi suatu bentuk pengenalan dan pengesahan diri individu secara digital dengan menggunakan teknologi terkini biometrik seperti cap jari, pengecaman wajah dan iris bagi rakyat menjalankan urusan dalam talian.
“Pengesahan individu secara digital ini adalah penting bagi mengelakkan penipuan identiti dalam urusan secara dalam talian yang boleh merugikan negara.
“Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan JPN dipertanggungjawabkan untuk menerajui pelaksanaan inisiatif ini kerana data, maklumat dan rekod penduduk berada di bawah jagaan dan bidang kuasa JPN,” katanya. – UTUSAN ONLINE










