SEREMBAN: Standard penjagaan buat kanak-kanak autisme perlulah berlainan dengan prosedur penjagaan kanak-kanak normal yang lain.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Kebajikan negeri, Nicole Tan Lee Koon berkata, standard penjagaan itu bukan hanya terhad kepada pengasuh di pusat jagaan harian tetapi terpakai kepada semua yang terlibat termasuk pemandu yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar kanak-kanak autisme tersebut.
Jelasnya, penghidap autisme mempunyai masalah perkembangan neuropsikologi yang menghadkan keupayaan mereka untuk berkomunikasi dan secara tidak langsung menjadikan mereka lebih istimewa berbanding individu normal lain.
“Semua pihak berwajib mesti menggunakan standard penjagaan yang berlainan daripada individu yang tidak ada autisme. Ini bukan terhad kepada pengasuh pusat jagaan harian, ia juga terpakai untuk pemandu yang ditugaskan untuk mengambil dan menghantar kanak-kanak autisme ini dari satu tempat ke tempat yang lain.
“Sudah tiba masanya untuk kita memastikan semua pihak berwajib mengikut prosedur operasi standard (SOP) tertentu sebelum dibenarkan untuk bertugas sebagai pengendali kanak-kanak autisme,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau mengulas insiden seorang kanak-kanak perempuan autisme berusa lapan tahun, Nur Kasrena Darwisyah Mohd. Khairul yang ditemukan maut di dalam sebuah van selepas dipercayai ditinggalkan selama tiga jam dalam kejadian di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan, di sini malam semalam.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Mohd. Said Ibrahim berkata, mangsa yang mempunyai kad orang kurang upaya (OKU) masalah pembelajaran itu ditinggalkan tanpa sengaja oleh seorang pemandu van yang diberi tanggungjawab menghantar mangsa.
Sementara itu, Lee Koon berkata, beliau belum mendapat maklumat sepenuhnya berhubung kejadian tersebut namun menyifatkan ia sebagai satu tragedi yang sedih dan mengecewakan. – UTUSAN ONLINE